NAMANYA bukan calang-calang, wanita genit bersuara emas ini pernah menyandang gelaran juara program realiti nyanyian fenomena suatu ketika dahulu, One In A Million musim ke-2 (OIAM2).

Lama ‘menghilang’ tanpa karya terbaharu, anak kelahiran Putatan, Sabah, Ayu Damit kini kembali dengan single dalam genre balada berjudul Kejam hasil ciptaan komposer muda Khairul Daniel, manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ayu bersama Slen dan Jay.

“Syukur alhamdulillah, penantian selama dua tahun akhirnya berbaloi dengan terlahirnya single ini.

“Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi, namun saya akur ini adalah ketentuan-Nya kerana kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya,” ujar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Vokal Klasikal di ASWARA itu.

Single Kejam juga terhasil bertitik tolak daripada usaha Ayu, 34, bersama suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin yang sentiasa mendukungi setiap keputusan yang diambilnya sehingga sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.

“Saya bertemu dan berbincang dengan komposer bernama Khairul Daniel lantas menyatakan lagu yang saya mahukan dan dia seakan mengerti kehendak serta cita rasa saya. Selepas berbincang kami terus ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu tersebut.

“Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari bulan Februari sehingga Oktober kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri dengan tunjuk ajar komposer yang banyak membantu dan banyak saya pelajari dari A sehingga Z,” ujarnya yang memaklumkan lagu Kejam menceritakan mengenai perhubungan bertepuk sebelah tangan.

Ayu bertekad untuk terus berkarya.

Hilang

Mengulas mengenai ‘kehilangannya’ dalam industri seni, Ayu atau nama penuhnya Norayu Damit tidak menafikan namanya seakan pudar daripada radar industri  muzik tempatan selepas memenangi OIAM2 dan trofi Vokal Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2008.

“Kerjaya seni saya ada kalanya naik dan turun disebabkan beberapa faktor serta rezeki dalam bidang seni seakan tidak menyebelahi saya sehinggalah saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan juga perniagaan yang saya usahakan bersama suami.

Iklan

“Kemudian, pada tahun 2020 saya menyertai GV7 (Gegar Vaganza musim ke-7) dan berjaya mendapat tempat ketiga. Daripada situlah saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang penyanyi di bawah pengurusan JoePRC International.

“Justeru saya berharap agar lagu Kejam mendapat sambutan dan boleh diterima oleh semua pendengar dan penggemar muzik tempatan.

Iklan

“Jangan lupa untuk terus menyokong saya dan Insya-ALLAH lebih banyak lagi lagu-lagu bermutu yang bakal menyusul,” jelasnya.

Lagu Kejam boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Lirik videonya yang berkonsepkan simple elegance boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alternate Records.