JIKA ramai yang meraikan Aidilfitri kali ini dengan penuh keterujaan dan kegembiraan, penyanyi Ayu Damit pula sebaliknya.

Menurut Ayu, 33, sambutan rayanya dan keluarga pada tahun ini penuh dengan air mata kerana pertama kali menyambut 1 Syawal tanpa bapa, Damit Osiri yang meninggal dunia pada Julai tahun lalu.

Apatah lagi apabila lebaran kali ini dapat diraikan meriah sebagaimana tahun-tahun sebelum pandemik, pemilik nama sebenar Norayu Damit itu berkata, ingatan terhadap arwah bapanya semakin kuat menerpa sehingga sering menitiskan air mata.

“Setiap kali bercakap tentang arwah bapa, saya memang tak dapat nak kawal emosi dan pasti akan rasa sebak. Memang terasa sangat dengan kehilangan arwah, apatah lagi pada saat kita sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

“Saban tahun memang saya yang akan sediakan kelengkapan raya arwah bapa dan keluarga. Sebulan nak raya, dia memang akan tanya saya beli baju yang macam mana, warna apa dan bila saya nak balik kampung.

“Tahun lepas saya sepatutnya balik beraya di Sabah bersama keluarga, tetapi ketika itu tiba-tiba larangan rentas negeri kembali dilaksanakan. Jadi saya tak dapat balik raya bersama arwah walaupun dah janji. Mujurlah baju dan kelengkapan raya yang saya hantar sudah diterima,” imbau ibu kepada dua cahaya mata itu dalam nada sebak.

Iklan

Hargai ibu bapa

Dalam pada itu, penyanyi yang baru sahaja tampil dengan lagu raya berjudul Riang Ria Lebaran itu menitipkan pesanan buat orang ramai agar sentiasa menghargai ibu dan bapa selagi hayat mereka masih ada.

“Dulu saya tak kisah sangat dapat balik raya atau tidak. Waktu itu saya fikir nanti-nanti pun boleh jumpa sebab saya selalu juga balik pada hari-hari biasa.

Iklan

“Namun bila bapa sudah tiada, barulah saya faham beginilah perasaan orang yang kehilangan dan Aidilfitri akan buat kita terkenang memori lalu.

“Jadi pada yang masih ada kedua-dua orang tua, selalulah balik jengok dan jaga mereka dengan sebaiknya. Kita tidak tahu bila raya terakhir kita bersama mereka,” katanya.