NAMANYA bukan lagi asing dalam industri perfileman tanahair dan cukup dikenali menerusi deretan filem arahan dan tulisannya yang berjaya meraih kutipan memberangsangkan daripada penonton.

Bukan sahaja aktif sebagai pembikin filem, Azhari Zain juga merupakan seorang tenaga pengajar di fakulti Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Setelah lama tidak tampil dengan naskhah baharu, pengarah dan penulis berjiwa besar itu, kembali dengan buah tangan terkininya, filem Petaka yang bakal ditayangkan di saluran Astro First mulai 4 Februari depan.

Ikuti perkongsian Azhari mengenai proses pembikinan dan cabaran dilalui sepanjang menjalani penggambaran filem Petaka.

SINAR PLUS: Apakah yang ingin diketengahkan dalam filem Petaka?
AZHARI ZAIN: Naskhah ini berkisar tentang isu kekeluargaan dan faktor hitam dari luar yang merosakkan keharmonian kemanusiaan.

Apakah cabaran utama yang dilalui sepanjang penggambaran dijalankan?
Cabaran dari segi pembentukan dan ledakan emosi yang cuba kita hasilkan dalam filem ini terutama apabila melibatkan kolaboratif antara pelakon itu sendiri.

Kami menggandingkan pelakon berpengalaman seperti Azman Ahmad, Wan Maimunah dan Nabila Huda dengan dibantu wajah baharu seperti Jaja Iliyes, Coki dan PU Azman.

Ini menimbulkan satu kolaboratif unik kerana kami perlu menghidupkan emosi, bukan saja dari segi lakonan tetapi fikiran mereka.

Penggambaran filem ini dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Ogos lalu. Bagaimana pihak produksi mengawal perjalanan pembikinan Petaka?
Alhamdulillah, kami berjaya mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib sepanjang penggambaran.

Kami mengambil pendekatan mengawal tiga komponen utama dalam SOP iaitu pengendalian penggambaran, pengurusan makanan dan pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial pada setiap yang terlibat dalam penggambaran filem ini.

Komponen-komponen ini menjadi keutamaan agar segala SOP digariskan dapat dipatuhi dengan sebaiknya.

Petaka
sebuah filem bergenre drama berat. Kenapa ia menjadi pilihan dan adakah ia merupakan genre kegemaran anda?
Fielm ini bermain konflik yang bukan sahaja fizikal tetapi dalaman melibatkan emosi. Ia memang kegemaran saya kerana ia bukan saja tentang perasaan pelakon dan karakter, malah melibatkan kolaboratif pergerakan kamera serta pencahayaan untuk mencetuskan emosi. Ini lebih visible dan dirasai oleh para penonton nanti.

Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan termasuk post produksi yang menghasilkan suntingan dan muzik skor yang menepati kehendak filem ini.

Filem ini membariskan pelakon baharu dan lama, bagaimana anda pastikan gandingan mereka seimbang dan saling melengkapi?
Saya cipta bonding antara pelakon baharu dan lama sebelum penggambaran bermula. Misalnya, Wan Maimunah, tiba ke lokasi lebih awal untuk bersama pelakon lain. Dia berkongsi kisah-kisah menariknya dan bercerita tentang diri sendiri yang akhirnya menjuruskan kepada filem ini.

Alhamdulillah ini dapat mencernakan sebuah aliran emosi yang kuat antara pelakon terlibat.

Iklan

Tidak hanya itu, saya juga sediakan kelas latihan lakonan untuk pelakon, terutamanya bintang baharu.

Antara babak menarik dalam filem Petaka.

Selain dikenali sebagai pengarah, anda juga seorang pensyarah di fakulti berkaitan perfileman. Bagaimana anda mengadaptasi situasi itu?
Dorongan daripada pengurusan tertinggi UiTM agar saya membimbing para pelajar sama-sama menggembleng kemahiran kami menghasilkan karya dalam industri ini, sangat dihargai dan diberi keutamaan.

Ini memberikan ruang kepada kami bukan sahaja menyerlahkan minat, malah mempelajari ilmu dan teknik baharu bersama kolaboratif rakan dan bekas pelajar. Ilmu ini satu lonjakan emosi dan kemampuan untuk saya pelajari pendekatan baharu dalam penghasilan karya.

Pada pengamatan anda, sejauh mana pelajar filem mampu mengangkat industri seni dan filem Malaysia ke mata dunia?
Mereka yang mempelajari apa saja ilmu, perlu diberi peluang dan kesempatan untuk mempraktikkan apa yang dipelajari.

Iklan

Kita dapat lihat karya-karya mereka tampil dengan teknik baharu. Mereka harus diberi ruang dan peluang membuktikan kemampuan serta bakat.

Saya membawa pelajar dan bekas pelajar ke ruang industri kerana saya yakin kolaboratif ini dapat menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja boleh membuka mata rakyat Malaysia, malah seluruh dunia.

 

(FOTO: Azhari Zain)