MEMINJAM semangat tahun baharu, penyanyi Azzam Sham, tekad kembali merencana kerjaya seninya dengan sebaik mungkin, sekali gus membina dalam industri.

Meski berdepan pelbagai cabaran, impak daripada pandemik Covid-19 yang masih berleluasa, Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzamuddin Lop Hisham, 24,  yakin mampu melakukan sesuatu dengan pelbagai perancangan sedang diatur sepanjang tahun ini.

“Alhamdulillah Big Stage banyak membuka peluang baharu kepada saya untuk terus mengembangkan bakat, bukan sahaja dalam bidang nyanyian, tetapi juga cabang seni lain.

“Apa sahaja peluang datang, saya ambil sebagai cabaran menguji kemampuan, selain menambah pengalaman sedia ada.

“Walaupun dikenali sebagai penyanyi, saya tidak tetapkan untuk hanya memberi fokus kepada bidang itu sahaja kerana saya mahu mencuba benda baharu.

“Fokus saya pada tahun 2021 ini adalah untuk membina nama dalam industri, sekaligus membawa kerjaya seni saya pada kedudukan lebih baik,” ujarnya.

Membuktikan kata-katanya itu, Azzam baru-baru ini tampil menerusi telefilem Matilah Nak Pontianak yang mendapat sambutan baik daripada para peminatnya.

Tidak hanya itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga berhasrat menceburi bidang pengacaraan pula selepas ini.

“Untuk tahun 2021 ini, banyak benda yang saya nak buat dalam kerjaya seni. Biarpun tahu ia tidak mudah kerana banyak aktiviti seni masih lagi terhad kerana pandemik, tapi saya yakin dengan perancangan diatur syarikat pengurusan saya, Rusa Music.

“Apa yang penting, saya perlu berusaha lebih untuk mencari peluang dan merealisasikan segala perancangan itu.

“Atas sebab itulah saya kalau boleh nak elakkan daripada membicarakan soal peribadi terutamanya tentang hubungan cinta saya dengan Sheryl Shazwanie kerana tidak mahu membiarkan kerjaya seni tenggelam dengan kisah peribadi.

Iklan

“Cukuplah saya mengakui tentang hubungan kami dan selebihnya berilah kami peluang untuk fokus pada kerjaya seni masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Azzam turut meluahkan rasa syukur apabila single terbaharunya, Cinta Jangan Pergi, ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya mendapat perhatian ramai dan kerap diputarkan di corong radio.

“Alhamdulillah walaupun single tersebut keluar lambat sedikit berbanding rakan-rakan Big Stage lain, saya terharu kerana ia mendapat respon begitu baik daripada peminat.

Cinta Jangan Pergi merupakan sebuah karya cukup mencabar buat saya kerana perlu memastikan apa yang diinginkan oleh penerbit dan pencipta lagu ini dipenuhi dengan sebaiknya.

Iklan

“Jadi bila ia terhasil seperti mana yang diinginkan, semua orang gembira dan mengharapkan ia dapat diterima ramai,” akui Azzam.

 

(FOTO: Instagram Azzam Sham)