BAGI memberi variasi program kepada penonton setianya, TV9 membawakan dua program komedi baharu di TV9, B.T.S. (Bujang. Tampan. Selamba) pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam dan Seram Tak Seram pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam.

B.T.S. (Bujang. Tampan. Selamba) terbitan FZ Studios Sdn Bhd menampilkan Cik Man (PU Azman), Bell Ngasri dan Hafidz Roshdi sebagai gandingan utama.

Sitkom 13 episod ini memaparkan tema yang berbeza untuk setiap episod dengan artis-artis jemputan seperti Ebby Yus, Atu Zero, Razak Ahmad, Anas Ridzuan, Rosnah Mat Aris, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana, Shuk Sahar, Aishah Azman, Sharif Zero, Kamarul Eqifshah, Kak Girl dan Lia Natalia.

Sitkom itu mengisahkan Ustaz (Cik Man), Tommy (Bell Ngasri) dan Razak (Hafidz Roshdi) ialah tiga orang bujang yang tinggal di sebuah rumah sewa kepunyaan Malik (Ebby Yus) di Kuala Lumpur. Masing-masing mempunyai latar belakang berbeza dan cuba untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain. Walaupun begitu, mereka tetap tinggal bersama dan menjadi kawan baik.

Sementara itu, Seram Tak Seram terbitan Nafalia Corporation Sdn Bhd adalah sebuah drama komedi seram mengisahkan tentang cerita di sebalik koleksi barang-barang antik yang dijual oleh seorang pemilik kedai bernama Sheikh Tahlul.

Iklan

Drama 13 episod ini menampilkan Jiggy Masin sebagai Sheikh Tahlul dan diserikan dengan pelakon-pelakon handalan seperti Adam Corrie, Joey Daud, Didie Alias, Liza Abdullah, Afifah Nasir, Mia Nasir, Acong Sweetchild, Nasz Sally, Qazem Nor, Zarul Umbrella, Den Wahab  dan ramai lagi.

Iklan

Seram Tak Seram akan memaparkan pelbagai kisah misteri di sebalik barangan antik seperti kereta, lampu suluh, telefon, pedang, topeng, radio, cincin emas batu delima, anak patung, basikal tua, seruling, kunci, mangkuk tingkat dan seterika antik.