KEPUTUSAN kerajaan untuk membuka semula pintu sempadan negara nampaknya menjadi khabar gembira buat penyanyi dangdut yang telah mencipta nama di Indonesia, Baby Shima.

Setelah dua tahun ‘terperuk’ di negara sendiri, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 30, bersedia untuk kembali mengatur kerjaya seninya di seberang.

Menurut Shima, dia merancang untuk pulang ke Indonesia dalam masa terdekat dan syarikat pengurusan di sana sudah pun memberi jadual kerja kepadanya.

“Ikutkan memang banyak kerja saya yang tergendala di sana. Nak atau tidak, saya terpaksa bercuti untuk tempoh dua tahun selepas Covid-19 melanda.

“Jadi bila kerajaan sudah buka pintu sempadan, saya rasa gembira dan teruja kerana lebih memudahkan urusan untuk berulang alik antara Malaysia dan Indonesia.

“Rumah saya di sana pun sudah dua tahun ditinggalkan begitu sahaja. Jadi saya rancang untuk balik dalam masa terdekat, untuk lihat rumah dan atur kembali kerjaya di sana.

“Mungkin untuk kembalikan ingatan peminat di sana, saya akan muncul dengan sebuah video muzik baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

BABY SHIMA
Tidak hanya semakin dikenali di negara sendiri, Baby Shima juga mempunyai kelompok peminat di Indonesia.

Dalam perkembangan sama, Shima sempat mengeluarkan single raya berjudul Pulang yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer muda, Ezra Kong, yang diharap dapat memenuhi citarasa pendengar muzik tempatan.

“Anda kena dengar lagu raya saya. Saya yakin bila anda dengar pasti apabila jalan akan terngiang-ngiang, ternyanyi-nyanyi lagu ini.

Iklan

“Selain single raya, saya juga akan merakamkan lagu ciptaan Pasha (Ungu) dan kemudian ke Jawa Timur pula untuk berkolaborasi dengan beberapa artis di sana,” jelasnya.

Lali kecaman

Dalam pada itu, ditebak dengan kritikan dan kecaman yang sering diterima daripada netizen, Shima berkata, dia sudah lali berhadapan dengan perkara itu.

Iklan

Malah akui penyanyi lagu Lalai itu, dia tetap membaca setiap komen walaupun negatif dalam media sosial.

“Mula-mula dulu ada juga rasa ‘down’, saya pun manusia biasa yang ada perasaan. Tetapi lama-lama saya sudah biasa seolah-olah tiada perasaan langsung.

“Saya juga tak kisah apa yang orang nak cakap atau kritik, saya terima dengan hati terbuka. Lagipun apa sahaja komen negatif yang mereka tinggalkan sikit pun tidak memberi kesan kepada diri dan kerjaya saya” ujarnya menutup perbualan.