BACAAN Yasin secara serentak seluruh negara menerusi program Tanyalah Ustaz yang dibawakan oleh Ustaz Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud pada 1 Jun lalu, mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Program tersebut telah memecah rekod dan melakar sejarah bagi program yang disiarkan pada 6.30 pagi, apabila berjaya meraih jumlah tontonan tertinggi sebanyak 1.3 juta penonton.

Berikutan itu, bermula 15 Jun 21 Jun, jam 6.30 pagi, Tanyalah Ustaz akan meneruskan bacaan Yasin di TV3 dan TV9 dengan mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama berdoa dan munajat kepada Allah SWT di saat negara dilanda penularan Covid-19.

Program Tanyalah Ustaz Istimewa: Doa Untuk Malaysia akan dimulakan dengan bacaan Yasin secara langsung yang dibawakan oleh Da’i dan panel jemputan bertauliah.

Iklan

Selesai bacaan Yasin, panelis akan tadabbur atau mengupas tentang kisah pengajaran ayat-ayat di dalam surah Yasin. Tadabbur itu akan dibawakan selama tujuh hari oleh lima ilmuan Islam yang bertauliah.

Iklan

Antaranya ialah Ustaz Mohammad Rozie Mohd Rejab, Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, Ustaz Mohammad Asraff Ayob, Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud.