PELAKON Reen Rahim tidak bimbang dengan usikan segelintir pihak yang mengatakan ‘sahamnya’ sebagai pelakon bakal menurun selepas menjadi isteri.

Tegas wanita berusia 34 tahun itu, sejak awal pembabitannya, dia percaya dengan rezeki yang diberikan oleh ALLAH.

“Sejak awal pembabitan lagi, saya percaya dengan rezeki yang diaturkan ALLAH SWT untuk saya.

“Selama ini pun, tawaran berlakon sentiasa ada dan saya percaya, walaupun sudah bergelar isteri, rezeki itu akan tetap ada untuk saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes at Four Season Place pada Selasa.

Ditanya berkaitan syarat bersentuhan dalam kerja selepas bergelar isteri, Reen berkata, perkara itu tidak menjadi kebimbangan memandangkan stesen televisyen kini lebih terbuka dan tidak mengutamakan babak bersentuhan dalam drama.

“Sekarang ini ramai yang elak untuk bersentuhan berlebihan dalam drama dan stesen TV juga maklum mengenai perkara itu.

Iklan

“Setakat ini bakal suami tidak letakkan syarat, tetapi sebagai isteri, saya perlu faham-faham sendiri. Lagipun sejak dulu lagi, saya menjaga batas dan akan teruskan bila sudah menjadi isteri,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, bakal mendirikan rumah tangga sedikit masa lagi, Reen bagaimanapun selesa mengambil pendekatan untuk merahsiakan tarikh hari bahagianya dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. H atas permintaan keluarga.

Mereka yang sudah bertunang pada Ogos lalu itu turut mendapat pelbagai jenis tajaan yang keseluruhannya berjumlah RM15 juta.