FILEM terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dengan kerjasama daripada CJ Entertainment, The Garden of Evening Mists (TGOEM) bakal ditayangkan di Shibuya Euro Space, Jepun bermula 24 Julai depan.

TGOEM yang merupakan karya adaptasi daripada novel berjudul sama itu berlatar belakangkan sejarah Malaysia dalam Perang Dunia II dengan tema cinta menyayat hati.

Penerbit Eksekutif TGOEM dan merangkap selaku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan, berkata, perkembangan tersebut cukup membanggakan seluruh team produksi.

“Kami rasa amat teruja filem ini akan ditayangkan di Jepun. TGOEM mengangkat kisah yang berlatarkan Malaysia dan dijayakan oleh gabungan hebat oleh barisan pelakon serta tenaga kru profesional dari Malaysia dan luar negara.

“Kami harap filem yang membawa elemen cinta dan kemaafan berlatarkan pelbagai era ini, mampu menambat hati penonton di Jepun seperti mana filem ini telah meninggalkan kesan kepada penonton-penonton dari pelbagai negara sebelum ini.

“Filem Asia semakin mendapat perhatian antarabangsa, jadi Astro akan terus komited dalan mempersembahkan lebih banyak filem yang mengangkat Asia dan penceritaan oleh bakat-bakat kreatif dari Asia sendiri,” katanya.

TGOEM menggabungkan tenaga-tenaga profesional dari Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan UK.

Pengarahnya, Tom Lin yang merupakan antara pengarah terbaik di Taiwan manakala skrip oleh Pemenang Penulis Skrip Terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith.

Iklan

Selain itu, filem ini turut membariskan pelakon handal seperti pelakon kelahiran Malaysia, Lee Sinje, Hiroshi Abe (Jepun), Sylvia Chang (Taiwan), David Oakes dan Julian Sands (Britain) dan John Hannah (Scotland).

TGOEM melakar sejarah yang tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival (BIFF) dan tiket habis dijual.

Iklan

Selain itu, turut dipertontonkan di 16th Hong Kong Asian Film Festival (HKAFF) dan mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan di Taipei Golden Horse Film Festival menerusi kategori ‘Closing Film’ pada tahun 2019.

Filem yang menjalani penggambaran di Cameron Highland, Sungai Lembing dan Klang itu ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada Januari tahun lalu.