BEKAS Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa menerima penamatan khidmatnya pada 8 Disember lalu dengan hati yang terbuka.

Zurainah, 60, dalam satu kenyataan berkata, beliau memahami tindakan itu diambil selaras dengan perubahan pucuk pimpinan Kementerian Komunikasi dan Digital yang mempunyai visi dan cara kerja berbeza.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya ada menerima surat daripada pejabat Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang telah memendekkan tempoh lantikan saya sebagai Pengerusi Finas selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“Saya memahami sebagai pucuk pimpinan baru di kementerian, beliau akan mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli-ahli pasukannya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Zuraidah menegaskan apa yang berlaku itu tidak mempunyai kaitan dengan khabar angin berkenaan berlakunya penyelewengan dana Finas yang dibangkitkan sesetengah pihak baru-baru ini.

“Bagi saya, tindakan ini tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewangan dana Finas.

“Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib Finas, malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas. Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya.

Biarpun tidak lagi bersama Finas, Zuraidah mengharapkan agar penggiat industri filem terus menjalinkan kerjasama dan membantu Finas memajukan industri filem tanah air.

“Saya amat yakin dengan gabungan harmoni antara penggerak industri kreatif negara bersama Finas mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Keupayaan dan kemampuan penggerak industri kreatif negara setimpal dan mampu bersaing secara sihat dengan negara luar namun hanya perlu mempertingkatkan usaha pemasaran dengan lebih agresif.

“Penjenamaan Malaysia sebagai destinasi filem yang boleh melonjakkan ekonomi negara akan lebih menyerlah melalui suntikan pelaburan besar daripada penggiat seni dari seluruh dunia,” katanya.

Seiring itu, Zurainah turut menyatakan kesediaannya untuk membantu dalam segala aspek peralihan kepimpinan Finas yang bakal berlaku.

Iklan

Tambahnya lagi, pengganti beliau kelak mempunyai tanggungjawab berat dalam menghadapi pelbagai cabaran industri pada masa kini.

Beberapa perkara turut disarankan, antaranya berkenaan geran dan bantuan untuk menggalakkan semula pengambaran filem, memperkenalkan kemudahan kewangan yang tidak membebankan industri, kebajikan penggiat industri, memperkenalkan kerangka kerja baharu yang lebih efektif serta praktikal dan lain-lain.

“Saya amat yakin dan percaya pihak pengurusan Finas akan melakukan yang terbaik dalam memastikan peralihan kepimpinan yang tidak asing lagi bagi warga Finas akan berjalan dengan sebaik mungkin.

Iklan

“Secara peribadi saya bersedia untuk membantu sebarang usaha dalam memastikan kelangsungan usaha dan inisiatif sebelum ini tercapai agar Finas dan kepimpinan baharu terus mencapai kecemerlangan dan kejayaan,” akhirinya.

Terdahulu, khidmat Zurainah sebagai pengerusi Finas bermula 10 Jun lalu, dibatalkan serta-merta menerusi surat yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 8 Disember baru-baru ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.