MENGAKUI segala pencapaian yang diraih dalam masa tiga tahun ini tidak datang dengan mudah, penyanyi rap, Bunga Isme mahu terus merencana kerjaya seninya sebaik mungkin.

Apatah lagi selepas bergelar finalis anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Mac lalu, bakatnya semakin diterima sekali gus membuka lebih banyak peluang baharu untuk membina pengaruh.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 22, tekad untuk tampil dengan lebih banyak karya baharu buat pencinta muzik tanah air.

“Saya akui selepas muncul di pentas AJL36, banyak projek dan peluang baharu datang. Alhamdulillah semakin ramai yang mula nampak kewujudan saya dalam industri.

“Sebelum ini saya fikir orang hanya akan fokus kepada pemenang sahaja, tetapi ia terbukti sebaliknya. Rezeki tak pernah salah alamat dan saya sangat hargainya,” ujarnya.

Menyentuh tentang sambutan Ramadan, jelas Bunga, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kali ini dia sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk menyiapkan album sulung.

“Selalunya saya hanya akan fokus kepada persiapan Ramadan dan Raya sahaja, tetapi tahun ini berbeza sedikit kerana terikat dengan pelbagai komitmen berkaitan kerja dan pengajian.

“Aktiviti Ramadan tetap berjalan seperti biasa, cuma dalam masa sama saya terlibat dengan rakaman lagu raya dan proses pembikinan album sulung.

“Saya fikir, waktu muda inilah kena kerja kuat. Selagi larat dan ada kudrat, saya akan cuba ambil segala peluang yang ada,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seremban 3, Negeri Sembilan.

Fokus lagu solo

Berkongsi lebih lanjut tentang album yang dijangka menemui peminat pada Jun depan, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Apadehal itu berkata, ia akan memuatkan 10 buah lagu.

Iklan

“Insya-ALLAH album ini memuatkan tujuh buah lagu baharu, manakala tiga lagi lagu sedia ada yang pernah ditampilkan sebelum ini termasuk Intan Payung.

“Saya tidak mahu letakkan jangkaan tinggi terhadap lagu-lagu baharu yang saya hasilkan hanya kerana karya sebelum ini berjaya membolosi AJL. Namun saya sentiasa meletakkan usaha sehabis baik dalam setiap proses penghasilannya.

“Semakin hari kita semakin matang, saya juga mahukan hal sama untuk karya dan muzik yang dibawakan. Jadi perlu ada variasi dan sentiasa berani cuba benda baharu,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Bunga mahu kembali fokus kepada penghasilan lagu solo selepas kerap tampil dengan projek kolaborasi bersama beberapa penyanyi lain.

“Selepas ini saya akan lebih banyak tampil dengan lagu solo berbanding duet.

“Apa-apa pun projek kolaborasi banyak membantu kerjaya seni saya dan tidak dinafikan ia juga antara strategi yang disusun pihak label,” akhirinya.