Bakal tampil dengan variasi program baharu, AlHijrah semakin mara ke hadapan         

Untitled design (48)
Untitled design (48)
A
A
A

KEJAYAAN program Muhammad Kekasih Agung yang disiarkan secara langsung sempena Maulidur Rasul, Selasa lalu memberi keyakinan buat stesen TV Islamik, AlHijrah untuk terus mara ke hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, stesen TV itu akan tampil dengan lebih banyak variasi program termasuk yang disiarkan secara langsung.

“Alhamdulillah program Muhammad Kekasih Agung berjalan dengan cukup baik pada Selasa lalu. Secara tidak langsung, TV AlHijrah telah melakar satu lagi sejarah apabila menggabungkan pendakwah dan penghibur tanah air atas satu pentas yang sama.

“Kami juga menerima respons yang cukup positif daripada penonton dan penggiat seni tanah air yang mahukan AlHijrah tampil lebih banyak program seumpama,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Kekasih Agung yang disiarkan secara langsung pada Selasa lalu jam 9 malam sempena sambutan Maulidur Rasul menggabungkan bacaan al-Quran, qasidah, selawat, monolog, sajak, tausiah dan nyanyian tentang Rasulullah.

Selain Wadi Annuar dan Jafri Abu Bakar bertindak menyampaikan tausiah, Datuk Hattan, Faizal Tahir, Amerul Affendi, kumpulan Kopratasa, Daqmie, Ijam Medicine, Naqiu, Datin Alyah, Ustazah Sharifah Khasif dan kumpulan nasyid Zayne telah tampil membuat persembahan.

Tambah Namanzee, AlHijrah akan tampil dengan sebuah program realiti pada pertengahan November depan yang membawa misi perjalanan dakwah untuk golongan muda.

Program yang menampilkan beberapa penyanyi terkenal tanah air itu akan disiarkan secara langsung.

“Program ini tidak meniru mana-mana rancangan sedia ada dan ia berbeza kerana kita membawa misi usaha dakwah kepada golongan muda.

“Apa yang boleh saya katakan, ada dalam kalangan artis yang membuat persembahan pada malam program Muhammad Kekasih Agung itu akan menyertai program ini.

“Insya-ALLAH, walaupun menemui penonton November depan, kita sudah rangka program itu untuk beberapa musim akan datang. Kalau dapat sambutan, Insya-ALLAH kita akan buat skala yang lebih besar,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca