TV AlHijrah buat kali pertamanya tampil menerbitkan sebuah program baharu berjudul Dengar, yang lari daripada konsep kebiasaan stesen tersebut yang menyampaikan ilmu dengan keupayaan berbicara berbanding mendengar.

Dengar merupakan program semi-realiti yang mendengar permasalahan individu-individu tular di media sosial dan disusuli dengan bantuan serta mencari solusi terbaik untuk permasalahan tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris, program Dengar yang tampil dengan tagline Mendengar Masyarakat itu, akan ‘turun padang’ setiap kali menerima aduan atau kisah kesusahan dikongsikan warga maya kepada program tersebut.

Dengar adalah hasil cetusan idea dan inspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut penglibatan dan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat.

“Bermula dengan aduan yang kami terima daripada warga maya, krew Dengar akan turun padang meninjau dan menjalin hubungan awal dengan responden yang sedang berada dalam musibah.

“Mereka kemudiannya membuat kajian lanjut serta berhubung dengan agensi dan pihak terlibat dalam mencari solusi terbaik.

Iklan

“Kemudiannya, kita akan jemput responden ke studio digital TV AlHijrah untuk sesi perkongsian, sekali gus menerima bantuan diperlukan sama ada daripada pihak penaja atau agensi-agensi berkenaan,” katanya.

Iklan

Program 13 episod itu menampilkan pengacara berkarisma, Wan Kamarudin Wan Ibrahim sebagai hos di studio dan Hazeman Huzir sebagai wartawan lokasi.

Dengar disiarkan secara langsung pada setiap Khamis, jam 9 malam bermula 4 Mac lalu.