PELAKON dan penyanyi berbakat besar, Naim Daniel berpendapat populariti pada seseorang anak seni itu bukan ukuran sebenar.

Jelas Naim, tidak kiralah seramai mana pun pengikut seseorang selebriti itu di media sosial, ia sama sekali tidak dapat membeli bakat.

“Populariti akan bergerak seiring dengan hasil kerja seseorang itu. Ia adalah bonus dan dalam masa sama ujian juga.

“Apa yang penting adalah bagaimana cara kita memberi sumbangan dan manfaat pada masyarakat menerusi karya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Siapa Tutup Lampu di TGV One Utama, Bandar Utama baru-baru ini.

Tambah Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, dia tidak bersetuju seandainya pemilihan seseorang pelakon itu dibuat bersandarkan populariti semata-mata.

“Hari ini, penonton dihidangkan dengan pelbagai pilihan karya, tidak kira dalam mahupun luar negara.

“Jadi jika industri kita mahu bergerak seiring, haruslah mengutamakan kualiti dan bukannya populariti semata-mata,” ujarnya.

Ditanya adakah dia selektif dalam menerima tawaran kerja, Naim menafikannya.

Bagaimanapun akui jejaka berusia 24 tahun itu, dia sudah memikirkan untuk meninggalkan legasi kepada penonton.

“Selama 17 tahun berada dalam industri seni, saya tidak terlalu memilih untuk bekerja dengan orang tertentu atau menyanyikan lagu tertentu.

“Saya tidak pernah cerewet dengan kerja dan bila berada di set, akan beri 200 peratus.

“Malah saya terfikir untuk meninggalkan legasi. Saya tahu orang akan kata saya masih muda untuk bercakap mengenai legasi, tetapi kalau saya nak buat begitu, saya kena mulakan dari sekarang,” jelasnya.

Sopan atau penggoda

Dalam pada itu, berkongsi mengenai projek terbaharu, Naim berkata, filem lakonannya, Siapa Tutup Lampu baru sahaja menemui penonton di Astro First bermula Khamis lalu.

Iklan
Naim tampil dengan filem baharu, Siapa Tutup Lampu.

Katanya, dia membawakan watak seorang kasanova bernama Akmal.

“Kami menjalani penggambaran pada bulan puasa tahun lalu dan tidak banyak cabaran besar yang saya tempuhi.

“Bagaimanapun saya bertuah kerana mendapat pasukan kerja yang tidak berkira dan membuatkan saya lebih enjoy bekerja,” ujarnya.

Diusik adakah Naim mempunyai persamaan dengan wataknya sebagai Akmal, penyanyi lagu Sumpah itu menafikannya.

Iklan

“Insya-ALLAH apa yang dipotretkan dalam filem tidak akan dibawa ke luar. Mesej di belakang personaliti Akmal itu adalah setiap orang harus melayan wanita sebaiknya.

“Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang majoritinya perempuan. Jadi saya terikut-ikut perangai ayah yang sopan melayan wanita.

“Mungkin cara orang memahami dan menilai itu berbeza. Ada yang melihat saya sopan, mungkin juga ada rasa saya gatal. Apapun saya tunjuk, itulah diri saya sebenarnya,” jelas Naim.

FOTO : INSTAGRAM NAIM DANIEL