DI SEBALIK segala kepayahan dan ujian yang dilalui, penyanyi Marsha Milan meluahkan rasa syukur apabila rezeki menyebelahi lagu Cinta di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) pada Ahad lalu.

Karya ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik itu mencuri perhatian ramai apabila Marsha, 37, tampil menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penjiwaan, selain vokalnya yang mantap.

“Alhamdulillah walaupun melalui pelbagai cabaran seawal proses pembikinan lagu ini sehinggalah kepada persiapan menjelang AJL36, akhirnya rezeki menyebelahi kami.

“Terima kasih Akim dan Stacy yang berkongsi karya ini dengan saya, selain rakan-rakan lain yang membantu menyempurnakan Cinta sehingga sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Namun mungkin ramai yang tidak tahu, penyanyi yang sudah lebih 16 tahun membina nama dalam industri muzik tanah air itu baru sahaja seminggu pulih daripada Covid-19.

Disebabkan itu, Marsha tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan, selain keadaan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya.

“Saya berikan sehabis baik untuk persembahan ini biarpun berdepan sedikit kesukaran kerana masalah kesihatan.

“Saya baru sahaja pulih daripada Covid-19 buat kali kedua seminggu sebelum AJL36. Memang agak sukar untuk menyanyi dalam keadaan biasa, apatah lagi malam ini saya masih ada batuk.

“Bagaimanapun, saya tetap memberikan 200 peratus untuk persembahan ini kerana tidak mahu mengecewakan semua orang termasuk diri sendiri. Apatah lagi lagu ini sangat istimewa kerana saya dedikasi buat arwah bapa mertua,” katanya sebak.

Iklan

Persembahan Marsha pada malam kemuncak AJL36 mendapat pujian ramai dan disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Aina Abdul untuk kategori Vokal Terbaik.

Sementara itu, Stacy dan Akim mengakui berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukan Marsha dalam persembahannya.

Iklan

“Sudah tujuh kali saya masuk AJL sebagai penyanyi, tetapi tidak pernah berjaya naik pentas ambil hadiah. Tapi apabila pertama kali masuk sebagai pencipta lagu, menang pula tempat kedua.

“Pengalaman yang sangat manis. ALLAH dah aturkan perjalanan dan rezeki masing-masing. Tahniah buat Marsha, saya dan Akim sangat bangga dan berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan di AJL36. Dia memberikan sesuatu yang luar biasa dalam lagu Cinta ini,” kata Stacy.

Kombinasi Marsha, Akim dan Stacy jadikan lagu Cinta luar biasa. – FOTO: BOBONG

(FOTO: INSTAGRAM @anbstudio_bobong)