Home Hiburan Belagu II, dedikasi seni Dayang Nurfaizah

Belagu II, dedikasi seni Dayang Nurfaizah

0
Belagu II, dedikasi seni Dayang Nurfaizah

CINTA Dayang Nurfaizah pada muzik tidak pernah berbelah bahagi. Seawal bergelar anak seni sehingga berjaya membina nama dan pengaruh dalam industri seperti mana hari ini, impiannya hanya satu, memberi nilai setinggi mungkin pada setiap karya dibawa.

Barangkali bunyinya kedengaran klise pada sesetengah orang, namun bagi pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Azwang Dowty ini, ucap itu bukan sekadar penyedap hati sebaliknya sering dibuktikan dengan kualiti produk yang dihasilkan.

Tidak hairanlah apa sahaja karya ditampilkan, Dayang sentiasa mendapat perhatian ramai, selain liputan meluas daripada media atas rasa percaya kepada reputasi yang ada pada dirinya.

Masih dengan dedikasi sama, penyanyi kelahiran Sarawak ini baru sahaja tampil dengan album kontemporari klasik berjudul Belagu II yang juga merupakan kesinambungan daripada Belagu yang dihasilkan pada tahun lalu.

Meski dikenali sebagai penyanyi yang popular dengan genre R&B, Dayang ternyata tidak pernah menjauhkan diri beliau daripada muzik Melayu klasik yang menjadi akar budaya.

“Penghasilan album ini adalah salah satu daripada usaha saya untuk memartabatkan ritma Melayu klasik supaya terus malar segar dan menjadi rujukan generasi sekarang dan akan datang.

“Atas rasa cinta dan tanggungjawab, saya cuba merakamkan kembali lagu-lagu Melayu klasik ini dengan nafas dan susunan muzik baharu tanpa mengubah keindahan dan nilai sedia ada dalam karya-karya ini,” ujarnya kepada SinarPlus.

Pengalaman bermakna

Berkongsi lebih lanjut tentang pembikinan album yang sekali lagi mendapat sentuhan magis Aubrey Suwito itu, Dayang yang ditemui pada majlis pradengar album tersebut baru-baru ini mengakui melalui proses yang cukup panjang dan rumit.

Demi memastikan matlamat penghasilan album yangmendapat pembiayaan kerajaan menerusi pemberian Dana Kandungan Digital (Muzik) itu terlaksana, adalah penting untuk beliau memastikan kualiti muzik dihasilkan seiring dengan kehendak peminat dan trend muzik semasa.

Dayang teruja dapat bekerjasama dengan pemuzik Budapest Scoring Orchestra untuk Belagu II.

Justeru album yang memuatkan lapan buah lagu lama yang digubah semula dan sebuah karya baharu itu dihasilkan dengan menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra yang mempunyai reputasi cemerlang dalam kerjaya mereka.

“Pembikinan album ini dibuat denagn sangat teliti, bermula daripada proses pemilihan lagu, nyanyian sehinggalah kepada gubahan muziknya. Proses yang panjang, tetapi sangat berbaloi melihat hasilnya.

“Saya juga tidak pernah terfikir dapat menimba pengalaman berharga bekerjasama dengan Budapest Scoring Orchestra, apatah lagi dalam projek istimewa pembikinan lagu Melayu klasik ini.

”Bangga bukan sahaja kerana peluang itu, tetapi apabila melihat bagaimana karya Melayu klasik kita dimainkan pemuzik luar yang turut sama mengakui akan keindahannya,” ungkap Dayang.

Jadual padat

Tidak hanya berhenti di situ, beliau yang cukup dikenali dengan sikap rendah dirinya itu juga bakal tampil dalam sebuah konsert istimewa, Dayang Nurfaizah & MPO: Belagu yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 Mac depan.

Menerusi persembahan eksklusif tersebut, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak tiga kali itu akan menyampaikan lagu-lagu Melayu klasik yang dimuatkan dalam album Belagu dan Belagu II.

Dayang bakal tampil dalam sebuah konsert istimewa, Dayang Nurfaizah & MPO: Belagu pada 11 Mac depan.

Terdahulu sebelum itu, Dayang juga bakal beraksi di pentas AJL37 sebagai finalis menerusi lagu duetnya bersama Amir Masdi, Debu, pada 12 Februari depan.

“Jadual pada awal tahun 2023 ini agak padat dan menyaksikan saya terlibat dengan beberapa acara penting dan memerlukan persediaan yang sangat rapi.

“Mungkin orang fikir sebagai penyanyi berpengalaman, saya tidak ada masalah menyiapkan diri. Namun sebenarnya ia bukan perkara yang saya boleh ambil mudah. Sebaliknya memberi lebih tekanan kerana mahu memastikan penampilan saya itu hadir bersama kualiti yang diharapkan,” akuinya.

Menyentuh personaliti dirinya yang sentiasa tenang dan positif meski ada kala berdepan ranjau tidak terduga, bintang yang mula mencipta nama menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu mengakui hanya menjadi diri sendiri.

“Saya juga manusia biasa seperti mana orang lain di luar sana. Ada rasa marah, kecewa, sedih atau tidak puas hati terhadap sesuatu. Bukan sepanjang masa saya tenang dan positif.

“Cuma bila berdepan situasi itu saya selalunya akan berdiam diri sejenak. Saya tidak mahu melenting dan terikut-ikut dengan emosi.

“Pada saya, bagaimana teruk atau negatif pun sesuatu perkara itu, pasti ada juga hal positif daripadanya walaupun hanya satu peratus,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.