ISU kes saman antara pelakon Ben Amir dengan sebuah syarikat produksi diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas pelakon itu bersetuju untuk membayar RM100,000 bermula bulan depan.

Ben Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 32, selaku defendan bersetuju untuk membayar jumlah itu kepada syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd yang bertindak sebagai plaintif.

Persetujuan berkenaan dicapai oleh kedua-dua pihak, ketika prosiding yang dijadualkan untuk perbicaraan hari pertama di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Ben Amir akur untuk membayar RM100,000 kepada plaintif secara ansuran iaitu sebanyak RM20,000 sebulan bermula 10 Mei ini.

Namun sekiranya defendan gagal membayar jumlah berkenaan, Ben Amir perlu membayar jumlah asal yang dituntut oleh plaintif iaitu sebanyak RM211,477.

Menurut hakim Tasnim, mahkamah juga merekodkan defendan menarik balik pernyataan tuntutan balas yang dikemukakan terhadap plaintif.

Sementara itu, Penerbit Elisa Vision Sdn Bhd, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain memanjatkan kesyukuran kerana isu itu diselesaikan secara baik.

“Alhamdulillah. Saya pun sudah memaafkan dia atas apa yang berlaku. Pada saya, ini berkat Ramadan.

“Dia pun orang yang baik dan saya tiada masalah dengannya kerana semua sudah selesai,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Bagaimanapun, Ben Amir enggan mengulas lanjut dan hanya berkata “selesai secara baik” kepada pihak media.

Sebelum ini, Elisa Vision selaku plaintif memfailkan saman pada Mac tahun lalu terhadap Ben Amir berhubung isu pelanggaran perjanjian.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, defendan telah ditawarkan untuk watak Dr. Faizul dalam drama berjudul Demi dan hasil persetujuan kedua-dua pihak, plaintif dan defendan telah memasuki satu perjanjian bertarikh pada 31 Januari 2020 bagi defendan menjayakan drama itu.

Daripada jumlah 35 hari penggambaran di Malaysia yang bermula 2 Februari sehingga 6 Mac 2020, defendan hanya terlibat dalam penggambaran pada 17 Januari dan 18 Februari 2020, manakala bagi penggambaran di Scotland pula mengambil masa selama 14 hari bermula 12 Mac sehingga 25 Mac 2020.

Berikutan itu penglibatan defendan dalam penggambaran drama tersebut ialah sebanyak 13 hari membabitkan 85 babak bagi tiga episod.

Bagaimanapun ketika penggambaran di Scotland, pandemik Covid-19 mula melanda namun penggambaran masih diteruskan dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Iklan

Namun pada 27 Mac tahun sama tanpa pengetahuan daripada plaintif, defendan telah pulang ke Malaysia secara sendiri meninggalkan kesemua krew produksi dan pelakon.

Plaintif mendakwa defendan tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri yang jelas melanggar perjanjian apabila defendan telah meninggalkan atau melanggar jadual produktiviti.

Meskipun defendan melanggar jadual produksi di Scotland atas dasar timbang rasa dan mengambil kira ramai pihak yang terjejas, plaintif telah menawarkan defendan untuk meneruskan drama itu di Malaysia setelah mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Plaintif berhasrat menyambung penggambaran drama itu di Malaysia 4 Januari 2021 hingga 14 Februari 2021.

Bagaimanapun defendan melalui satu surat bertarikh 14 Oktober 2020 menerusi pihak pengurusannya SJ Global telah menyatakan keengganan untuk menjadualkan tarikh baharu penggambaran.

Iklan

Berikutan itu, plaintif melalui peguam telah mengingatkan defendan namun demikian, defendan masih gagal menjadualkan semula penggambaran drama tersebut.

Akibat daripada kegagalan defendan berbuat demikian, plaintif telah mengalami kerugian.

Justeru plaintif menuntut ganti rugi RM211,477 dan faedah lima peratus setahun.

 

(OLEH: NOOR AZLIDA ALIMIN – SINAR HARIAN)