BEN Utomo memulakan karier rap secara profesional pada tahun 2014 dan telah menempa nama dalam kancah hip-hop Indonesia melalui pelbagai single.

Karya-karyanya menampilkan lirik yang jujur, perspektif unik dan tulen terhadap muzik hip-hop.

Pergaulan Ben, 31, dengan pemuzik dari genre muzik lain juga banyak mempengaruhi muzik dan seleranya dalam berkarya.

Terbaharu, artis kelahiran USA dan membesar di Indonesia itu tampil dengan sebuah single baharu, Ghosting.

Ghosting diinspirasikan daripada kisah percintaan anak muda yang rumit, dinamik dan amat menarik untuk diterokai.

Jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu, biarpun baharu sahaja tampil dengan album Indo Kid pada April lalu, namun ia bukan penghalang buatnya untuk tampil dengan single Ghosting.

“Inspirasi tema lagu ini sebenarnya adalah kisah cinta yang mungkin dialami oleh ramai orang.

“Ketika kita merasa selesa dengan seseorang, tetapi orang itu sebenarnya bukan sahaja memberikan harapan palsu, malah hilang begitu saja. Inilah intipati lagu Ghosting.

“Jika anda dengar lagu ini, dalam bait pertama saya bercakap tentang hubungan mesra dengan seorang wanita, tetapi tiba-tiba dia menghilang.

“Di bait kedua, saya pula yang menghilang. Saya yakin ini adalah sesuatu yang mungkin biasa dialami oleh ramai anak muda di masa kini.

“Saya harap pendengar akan dapat mengaitkan perspektif cerita yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini, ” ujarnya membuka bicara.

Tidak sendirian, Ben bekerjasama dengan dua rakannya iaitu Benny Fasak dan Si Pattra dalam menyampaikan naratif dengan lebih berkesan.

Iklan

Bercerita lanjut mengenai kolaboratif itu, Ben berkata, idea awal penghasilan lagu ini bermula ketika mereka duduk bersama-sama di rumahnya.

“Ketika kami duduk berbual, timbul idea untuk menghasilkan lagu ini. Benny dan Pattra sebagai penyanyi manakala saya sebagai rapper.

“Saya dapat merasakan ada sesuatu yang menarik di sebalik penghasilan lagu ini. Prosesnya agak mudah dan tidak menghadapi apa-apa halangan.

“Bermula dari proses penulisan hingga penyusunan lagu hanya memakan masa sekitar satu jam. Hanya pada bahagian mixing dan mastering yang memakan masa,” jelasnya.

Iklan

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Ben yang memulakan karier rap secara profesional pada tahun 2014 berkata, dia kini sibuk menyusun lagu untuk projeknya yang akan datang.

“Saya merancang untuk keluar dengan beberapa buat lagu yang turut menampilkan beberapa bintang undangan.

“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenai identiti bintang-bintang yang menjadi pilihan saya.

“Apa yang pasti, ia akan menjadi sesuatu yang tidak kurang istimewa daripada Ghosting,” katanya.