SETELAH setahun tertunda tayangannya akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, filem francais kegemaran ramai, James Bond akhirnya menemui penonton di Malaysia bermula 25 November lalu.

Filem berjudul No Time To Die itu menjadi aksi terakhir Daniel Craig sebagai ejen 007 dan turut membabitkan pelakon hebat lain seperti Ralph Fiennes, Lea Seydoux, Naomie Harris, Ben Whishaw dan Rory Kinnear.

Siri kali ini turut dihebatkan lagi dengan bantuan pelakon lain iaitu Lashana Lynch, Rami Malek, Dali Benssalah, Billy Magnussen serta Ana De Armas.

Bond kembali menghadapi musuh lamanya.

No Time To Die diarahkan oleh Cary Joji Fukunaga, mengisahkan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Felix Leiter meminta bantuan Bond kini menetap di Jamaica selepas bersara untuk menyertai misi bagi menyelamatkan seorang saintis.

Bagaimanapun misi itu bertambah sukar apabila Bond perlu menghadapi musuh lama dan dalam masa sama membawanya menentang penjenayah misteri yang memiliki teknologi baharu dan sangat merbahaya.

Bukan itu sahaja, misi itu membawa Bond berjumpa kembali dengan kekasihnya, Madeleine Swan.

Secara ringkasnya, No Time To Die mengambil tempat di penghujung filem Spectre di mana Bond mengambil keputusan untuk bersara dan menjalani kehidupan baharu bersama Swan.

Namun impian itu tidak menjadi kenyataan apabila mereka diburu dan membuatkan Bond  meninggalkan Swan serta menjalani kehidupan di Jamaica.

Penonton akan disajikan dengan babak aksi dari awal filem ini bermula dan semakin sengit sehingga ke penghujungnya.

Iklan

Tidak hanya mempertaruhkan babak aksi semata-mata, penonton juga akan dibawa melayari kisah percintaan penuh cabaran antara Bond dan Swan yang tidak kesampaian.

Pada pandangan penulis yang bukan peminat setia James Bond, tetapi pernah menonton Skyfall dan Spectre, filem No Time To Die masih boleh difahami kerana Fukunaga menyusun jalan cerita dengan baik serta teliti.

Iklan

Ditambah pula dengan babak aksi menarik bersama teknologi pelbagai dan sinematografi yang cukup mengagumkan, sukar untuk mencari kelemahan filem ini secara keseluruhannya.

Kemunculan Nomi sebagai salah satu agen MI6 yang mempunyai kod 00 memberi bayangan mengenai filem James Bond akan datang.

Justeru adakah benar ini filem terakhir James Bond atau hanya filem terakhir buat Craig sebagai ejen 007? Apakah yang akan berlaku kepada Bond? Saksikan jawapannya di pawagam.