KUALITI vokal dua penyanyi terkenal tanah air, Hafiz Suip dan Ernie Zakri tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kelebihan dimiliki berjaya meletakkan diri mereka berdua dalam kelas teratas kalangan penyanyi terbaik di Malaysia.

Malah, baik Hafiz mahupun Ernie, mereka boleh dikatakan antara penyanyi hebat negara ketika ini.

Hampir semua lagu dilancarkan berjaya mendapat tempat di hati pencinta muzik sekali gus meraih pengiktirafan membanggakan.

Hafiz sendiri mempunyai rekod cukup cemerlang sepanjang lebih 10 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian, bermula selepas muncul juara program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada tahun 2009.

Hafiz juga adalah pemenang tiga kali Anugerah Juara Lagu (AJL) serta empat kali memenangi Vokal Terbaik AJL.

Begitu juga dengan Ernie, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 2009, kerjaya nyanyiannya terus melekat di hati peminat.

Mimpi jadi kenyataan

Ernie yang turut menjuarai pertandingan nyanyian Duo Star ketika berpasangan dengan Syamel juga adalah pemenang dua kali anugerah Vokal Terbaik AJL.

Selepas masing-masing mencapai puncak kerjaya, persembahan mereka pada acara Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33) tahun lalu membuka ruang bagi kedua-dua figura ini meneruskan kerjasama mereka menerusi lagu duet terbaharu, Berakhirlah Pencarianku.

Gandingan Hafiz dan Ernie menerusi lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh penerbit drama, Datuk A. Aida, menjadikan lagu terbitan bersama syarikat Nova Music dan Rocketfuel itu cukup istimewa.

Kolaboratif pemilik dua vokal terbaik industri muzik Malaysia dalam lagu Berakhirlah Pencarianku juga diibaratkan oleh kedua penyanyi ini sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Hafiz, 31, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, tidak ada sebab untuk dia menolak tawaran itu.

“Alhamdulillah, bagi saya projek ini ibarat mimpi menjadi kenyataan kerana akhirnya dapat juga berduet dengan Ernie.

“Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Dalam masa sama dia juga seorang guru vokal.

“Saya tahu dia berbakat besar dan pernah menang vokal terbaik. Apabila kami diberi peluang berduet pada ABP tahun lalu, saya berasakan ia kerjasama menarik.

“Dari situ kami berborak dan dia seorang yang senang jalin kerjasama termasuk ketika menyanyi bersama.

“Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ernie. Dengan kelebihan yang dimilikinya, siapa yang tak nak berduet dengan dia?” katanya.

Menurut Hafiz, kolaboratif mereka menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman yang ada.

Iklan

“Sebenarnya dari segi teknik nyanyian, banyak lagi yang perlu saya pelajari jika mahu dibandingkan dengan Ernie.

“Macam Ernie dia memang belajar itu. Saya belajar juga, tapi lambat. Jadi, dari segi teknik nyanyian, Ernie masih terbaik bagi saya.

“Kalau soal pengalaman, mungkin saya ada sedikit kelebihan sebab saya sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

“Jadi, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah masing-masing ada keistimewaan. Saya tak nafikan Ernie ada vokal yang sangat bagus,” ujar Hafiz.

Cukup bermakna

Sementara itu, Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menyifatkan kerjasama menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku dengan Hafiz adalah cukup bermakna dalam kerjaya seninya.

“Sejujurnya saya banyak berfikir pada peringkat awal untuk melibatkan diri dalam projek ini sebab baru lancar lagu duet dengan Syamel iaitu Goodbye Hello yang merupakan lagu perkahwinan kami.

Iklan

“Bagaimanapun apabila dinasihatkan oleh syarikat pengurusan, saya berasa rugi kalau ditolak.

“Lagi pula, pelaksanaan projek ini adalah demi kebaikan kerjaya saya sendiri,” katanya.

Senada dengan Hafiz, Ernie berkata kolaboratif dengan Hafiz juga ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Kerjasama dengan Hafiz juga ibarat mimpi menjadi kenyataan sebab kita tahu dia adalah penyanyi terbaik di Malaysia. Jadi apabila dapat tahu nak digandingkan, takkan nak tolak tuah. Dalam masa sama, Hafiz juga penyanyi kegemaran Syamel.

“Jadi apabila dimaklumkan mengenai projek lagu ini, Syamel cakap saya kena buat dan jangan tolak. Bermakna saya mendapat sokongan daripada suami dan tak perlu fikir panjang lagi.

“Apabila suami dan saya saling memahami, barulah saya boleh fokus dengan senang hati,” kata Ernie.