EMPAT anak muda ini punya cita-cita tinggi dalam industri hiburan tanah air. Bukan sahaja mempertaruhkan muzik yang dibawa tetapi band yang dikenali sebagai Insomniacks itu turut mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik.

Tanpa disedari, sudah enam tahun pembabitan mereka sebagai pemuzik. Sepanjang tempoh itu, Insomniacks sudah menghasilkan dua single dan satu album EP yang memuatkan lima lagu.

Mula bertapak menerusi syarikat rakaman Sony Music, ‘jodoh’ mereka dengan syarikat rakaman berkenaan tidak panjang apabila kontrak tamat awal tahun ini selepas empat tahun bersama.

Namun, bakat besar dimiliki kesemua anggota Insomniacks iaitu Wan Arif Iskandar Adnan (Iskandar) selaku pemain bass; Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama; Ahmad Danial Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma; dan Gavin Wong (Gavin) dram terus disambar syarikat rakaman Universal Music Malaysia sejak Mac lalu.

Iskandar mewakili Insomniacks berkata, tawaran diterima syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu satu penghormatan buat mereka.

“Sejujurnya kami berasa bangga, selain menyifatkan ia satu penghormatan apabila mendapat tawaran daripada pihak Universal Music.

“Umum mengetahui, mereka mempunyai kredibiliti, berpengalaman luas dan mempunyai ramai artis berbakat dan dikenali.

“Dalam masa sama, tawaran yang datang juga disertakan dengan pelbagai perancangan menarik untuk masa depan band kami. Jadi, kami berasakan ia bagus untuk jenama dan kerjaya muzik pada masa akan datang.

“Paling penting, tawaran mereka itu juga adalah sesuatu yang kami mahukan selama ini terutama dari segi penghasilan lagu. Pendek kata, kami yakin berada di bawah syarikat rakaman ini,” katanya.

Menurut Iskandar, kontrak itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin di mana sebagai permulaan, Insomniacks merancang untuk melancarkan tiga lagu sebelum penghujung tahun ini.

“Disebabkan selepas kami menandatangani kontrak bersama Universal Music, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, jadi banyak perancangan tergendala.

“Insya-ALLAH, kami merancang untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga single tahun ini,” jelasnya.

Iklan

Serasi bersama

Bercerita lanjut mengenai kumpulannya, Iskandar berkata, disebabkan mereka sebaya, keserasian sebagai satu band cukup utuh dan membuatkan mereka sepakat dalam berkarya.

“Kami selesa mencipta dan tulis lagu sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Tapi, kami juga terbuka kalau ada mana-mana komposer yang mahu bekerjasama.

“Kami okay dan tidak ada masalah. Macam sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir.

“Bagi semua karya yang pernah dihasilkan, lirik adalah berdasarkan pengalaman sendiri dan kawan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan,” katanya.

Iklan

Antara pencapaian yang membanggakan kumpulan itu apabila single Pulang menjadi juara Carta RIM selama 146 minggu.

Berkongsi sasaran dan impian Insomniacks, jelas Iskandar, mereka mahu membawa muzik dan memperkenalkan jenama sendiri menerusi siri jelajah di seluruh Malaysia.

“Sasaran kami sejak dulu lagi adalah nak menjelajah seluruh Malaysia. Sebelum ini pernah menjelajah tapi beberapa negeri saja. Jadi, jika keadaan negara sudah membenarkan semua aktiviti, kami mahu teruskan.

“Dalam masa sama, sambutan peminat terhadap Insomniacks juga semakin bagus. Apatah lagi kami juga buat sesi siaran langsung streaming pada setiap Jumaat di YouTube, selain mewujudkan kumpulan Telegram, Maniacks. Dari situ mereka lebih mengenali kami,” katanya.