TERKESAN dengan pemergian rakan selebriti, Siti Sarah Raissudin yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Isnin, pelakon Nabila Huda menyeru golongan menafikan kewujudan virus berbahaya itu untuk membuka mata.

Apatah lagi apabila kes harian tidak menunjukkan penurunan selain mencatat jumlah kematian tinggi setiap hari.

“Kepada sesiapa yang anggap Covid ini tak real, saya harap kehilangan ini yang paling buat semua terasa dan dekat pada hati kita.

“ALLAH nak tunjuk dan bagi kita turut rasa kesakitan sebuah kehilangan. Kalau masing-masing masih ada pendapat sendiri tentang Covid ini dibuat-buat, tak tahulah nak cakap macamana.

“Mereka yang sebarkan negativiti tentang Covid-19 tak real ini, harap boleh berterusan living in denial sampai suatu hari nanti, anda akan kehilangan keluarga tercinta disebabkan benda yang anda tidak percaya ini,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.

Dalam perkongsian sama, pengacara Melodi itu juga menyeru orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah perlindungan diri.

Iklan

“Pergilah vaksin. Bukan kita nak letak 100 peratus kepercayaan, tapi kita usaha. Walaupun kita berdoa dijauhi, tapi kita kena berusaha juga dengan cara lain.

“Buanglah pemikiran ‘eleh kalau vaksin pun tak menjanjikan kita tak dijangkiti’. Tak payah fikir jauh sangat. Kita usaha sahaja guna jalan yang diberi.

Iklan

“Tolonglah! Berapa banyak lagi kehilangan yang kita nak tengok sebab Covid-19 ini. Tolonglah jangan degil.

“Buanglah fikiran negatif atau menyebarkan negativiti itu kepada orang ramai. Sudah-sudahlah tu,” katanya yang sudah lengkap mendapatkan dua dos vaksin.