Bergelar Ratu Ten Pin, Elisya Sandha profesional bekerja dengan bakal mentua

Elisya Sandha
Elisya Sandha
A
A
A

TIDAK pernah memandang mudah dalam setiap tugasan yang diberikan kepadanya, pelakon muda sedang meningkat naik, Elisya Sandha, sentiasa memastikan dirinya membuat persiapan secukupnya sebelum masuk ke set penggambaran.

Perkara sama turut dilakukan pemilik nama penuh Nur Elisya Mohd Faisal itu, apabila membintangi drama yang mengangkat tema sukan boling negara, Ratu Ten Pin, yang kini hangat bersiaran di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam.

Bagi menjayakan watak sebagai Norma, seorang gadis kampung yang kemudiannya bergelar pemain boling kebangsaan, selebriti berusia 22 tahun itu berkata, dia mengambil inisiatif dengan menggunakan khidmat jurulatih peribadi bagi membuat persediaan.

“Saya tidak ada apa-apa pengetahuan tentang sukan boling dan tentunya apabila menjayakan watak ini saya kena tampil sebaliknya.

“Jadi untuk tidak menampakkan lakonan kekok, saya mengambil jurulatih sendiri untuk buat persiapan dan latihan sebelum masuk ke set.

“Alhamdulillah walaupun tidak sehandal rakan pelakon Syaidatul Afifah yang juga merupakan bekas atlet boling kebangsaan, sekurang-kurangnya saya tahu bermain boling dengan teknik yang betul, selain pengetahuan asas berkenaan sukan itu,” ujarnya.

Berkongsi cabaran dilalui sepanjang penggambaran Ratu Ten Pin, Alisya yang ditemui pada sidang media drama tersebut yang diadakan secara maya baru-baru ini berkata, dia berdepan dengan kekangan masa untuk membuat latihan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cabaran utama adalah kekangan masa dan waktu latihan yang singkat menyebabkan saya jadi kurang beryakinan.

“Bagaimanapun atas bantuan dan semangat diberikan atlet boling negara, Shalin Zulkifli yang menjadi penasihat teknikal untuk drama ini, saya berjaya buat dengan baik.

“Masa penggambaran itu, saya juga mengalami sedikit kecederaan apabila bola boling terkena buku lali sehingga lebam dan bengkak selama dua hari,” katanya.

Ditanya tentang pengalamannya bekerja dengan produksi JS Pictures yang juga merupakan milik bakal mentuanya, Jinggo dan Sheila Rusly, kata Elisya, dia tidak pernah berdepan sebarang masalah disebabkan masing-masing profesional dalam bekerja.

“Pada mulanya gementar juga, tetapi apabila kita semua profesional dengan kerja masing-masing, semuanya jadi okey.

“Sebagai pelakon saya datang ke set untuk bekerja seperti mana orang lain. Jadi apabila ditegur semasa bekerja, itu adalah perkara biasa.

“Bagaimanapun saya tidak hanya terikat dengan produksi bakal mentua sahaja, sebaliknya terbuka untuk bekerja dengan mana-mana produksi yang menawarkan watak menarik dan berbeza kepada saya,” ujarnya.

Menyentuh tentang persiapan majlis perkahwinannya, Elisya yang juga adik kepada pelakon Fasha Sandha menjelaskan, buat masa ini dia dan tunangnya, Uzair Haqimy tidak terlalu memberi fokus kepada perkara itu.

“Disebabkan sekarang kita masih lagi dalam PKP, persiapan perkahwinan kami jadi tergantung sekejap.

“Jika semuanya sudah reda nanti, Insya-ALLAH kami akan kembali sambung persiapan kahwin dan fokus kepada majlis nanti,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca