SATU lagi pencapaian membanggakan buat industri filem tempatan apabila filem arahan Areel Abu Bakar, Geran bakal ditayangkan di Amerika Syarikat menerusi platform digital, Hi-Yah, pada 4 Jun ini.

Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri Areel menerusi laman Facebook miliknya pada Ahad.

Menurut Areel, perkembangan itu merupakan satu kejayaan kepada usahanya dalam memperkenalkan seni budaya warisan di persada antarabangsa.

“Ini permulaan yang baik atas usaha kita bersama. Biarlah ia berlayar sejauhnya. Walaupun kecil usaha kita, tetapi kita punya semangat yang besar untuk meredah ombak gelora di masa hadapan.

“Harapan saya mungkin ini salah satu langkah untuk kita pergi lebih jauh. Muafakat yang kuat boleh meruntuhkan tembok keegoan untuk menghasilkan karya yang baik dan berkualiti,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, pengarah muda berbakat besar itu juga, menyeru penggiat seni tanah air untuk terus meraikan seni warisan bangsa tanpa rasa malu.

“Marilah jiwa-jiwa yang murni meraikan seni warisan kita. Jangan ada rasa malu dan ketinggalan.

“Kita punya identiti tersendiri. Kita mampu mengorak langkah dengan niat yang satu,” katanya.

Iklan

Areel juga mengharapkan agar kutipan filem tersebut dapat mendapat pulangan modal, sekali gus membuka ruang untuknya tampil dengan karya-karya lain selepas ini.

“Harapan kutipan ini boleh mengembalikan modal untuk kami menghasilkan karya yang akan datang daripada mengharapkan bantuan orang lain yang belum tentu mempunyai tujuan yang sama.

“Nantikan naskhah seterusnya Walid,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Areel turut berkongsi poster asal Geran bersama poster baharu yang menggunakan judul, Silat Warriors: Deed of Death untuk pasaran antarabangsa.

Terdahulu Geran yang dibintangi oleh Namron, Khoharullah Majid, Feiyna Tajudin, Megat Shahrizal dan Fad Anuar itu pernah memenangi Anugerah Daniel A Craft di New York Asian Film Festival (NYAFF) 2020.