PERTEMUAN pelakon Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Liyana Salleh dalam program Melodi Raya baru-baru ini mencuri perhatian ramai, seakan memperlihatkan kontroversi melibatkan mereka sebelum ini sudah berakhir.

Sikap profesional kedua-duanya yang sedia bersemuka menerusi segmen Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih dalam program terbabit dipuji ramai.

Bagaimanapun permohonan maaf yang dilakukan Izreen terhadap Intan di depan kamera itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada wargamaya. Ada yang melihat ia sebagai suatu yang positif, tidak kurang juga yang menganggap sebaliknya.

Intan, 36, yang sebelum ini mengambil pendekatan berdiam diri selepas program tersebut disiarkan, kini tampil mendedahkan kisah di sebalik pertemuan tersebut.

“Saya menerima jemputan pihak Melodi Raya atas dasar profesionalisme. Saya ada dimaklumkan akan tajuk segmen yang diangkat oleh Melodi Raya iaitu Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih, tetapi saya tidak dimaklumkan untuk ditemubual bersama-sama Izreen pada hari tersebut.

“Saya cuma dimaklumkan bahawasa Izreen akan ada bersama di set Melodi Raya dan saya diletakkan pada meja yang sama, tetapi bukan bersebelahan.

“Saya bersetuju untuk keadaan itu kerana setakat itu sahaja maka tiada masalah pada saya,” jelas Intan.

Bagaimanapun kata ibu kepada Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4, itu berkata, sebelum menyatakan persetujuannya, dia terlebih dahulu bertanya kepada pihak produksi program terbabit, adakah akan berlaku sesi bermaafan dan sekiranya ada, dia belum bersedia.

“Sebelum bersetuju, saya ada bertanyakan pada pihak Melodi adakah akan berlaku sesi bermaafan kerana seandainya ada, saya belum bersedia untuk itu.

“Saya diberitahu tidak akan ada sesi tersebut dan sekadar datang sebagai jemputan. Sebagai orang biasa yang bukan berada dalam dunia hiburan, pemahaman saya adalah sekadar jemputan dan bukan untuk ditemubual.

“Namun keadaan berubah apabila tiba di set rakaman. Saya dimaklumkan disebabkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), set berubah dan saya diminta untuk ditemubual bersama-sama Izreen bagi segmen tersebut,” luahnya.

Tambah Intan lagi, atas dasar profesionalisme dan tidak mahu mengganggu program rakaman yang sedang berjalan, dia menerima aturan sesi temu bual tersebut dalam keadaan tidak bersedia.

Iklan

“Apa yang terlihat dalam sesi temu bual tersebut adalah secara spontan bagi menjawab soalan yang diajukan.

“Buat masa sekarang biarlah keadaan berjalan seperti sedia kala yang mana masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Itu lebih baik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Intan juga memohon agar cerita berkenaan diri dan keluarganya tidak terus disensasikan dan berharap penjelasan yang dilakukan itu dapat merungkai persoalan yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Iklan

“Hal ini pada saya tidak perlu disensasikan kerana ia melibatkan hati dan perasaan. Saya bukanlah selebriti untuk dijadikan bahan cerita.

“Biarlah masa yang memulihkan segalanya. Tak perlu lagi mengaitkan atau mencalarkan nama sesiapapun dengan merujuk hal ini di masa hadapan,” katanya.

Intan merupakan bekas isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude Wahid.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2013, sebelum bercerai pada 22 Mac 2018. Perpisahan tersebut berlaku selepas Ude mengahwini Izreen pada 8 Ogos 2017, dalam sebuah majlis tertutup.