MESKIPUN tidak berbayar, pelakon sasa Zul Ariffin mendedahkan dia terbuka untuk memberi tunjuk ajar kepada mana-mana pelakon terutama gandingannya dalam sesebuah drama mahupun filem yang dibintangi.

Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, dia sudah terbiasa membuat sebegitu tanpa paksaan penerbit mahupun pengarah asalkan naskhah yang dilakonkannya berjaya ‘membeli’ jiwa penonton.

“Penonton terutama peminat mempercayai lakonan saya setiap kali keluar di kaca televisyen mahupun layar perak.

“Sebagai pelakon juga, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk tingkatkan rating. Jika penonton lihat lakonan kami tak serasi, mungkin orang akan salahkan saya.

“Jadi sebab itu saya terbuka untuk membantu memberi tunjuk ajar supaya kami berjaya tampil dengan lakonan yang berkesan bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 di Hotel Royale Chulan The Curve, pada Rabu.

Zul memberitahu dia terbuka untuk bergandingan dengan pelakon baharu mahupun lama.

Tambah pelakon filem Sangkar itu, walaupun dia bukan seorang pelakon yang baik, namun dia akan cuba untuk menjadi pasangan yang mudah memberi kerjasama.

Iklan

“Bila berlakon, kita tidak boleh ‘fly’ solo. Kalau saya seorang yang memberi, ia tidak akan menjadi.

Iklan

“Pengalaman tengok orang baru di set ada yang darah gemuruh, atau sampai tangan menggeletar tu perkara biasa buat saya. Jadi, saya akan cuba berikan kerjasama yang terbaik.

“Dalam masa sama, pelakon berkenaan mestilah seseorang yang laparkan ilmu, letakkan dedikasi serta buang ego mereka ke tepi untuk belajar, ” jelasnya.