MESKI terkilan tidak dapat meraikan 1 Syawal bersama ibu tercinta buat kali kedua berturut-turut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi Ramlah Ram akur dan percaya ada hikmah yang menanti.

Mengubat kerinduan dengan menghubungi ibunya setiap hari, Ramlah, 56, mengharapkan agar pandemik Covid-19 segera berakhir agar kemeriahan raya bersama keluarga di Muar, Johor, kembali dirasai.

“Keterujaan raya saya pada setiap tahun hanyalah pada ibu. Baik dari segi persiapan, mahupun kemeriahan hari raya itu sendiri, segalanya kerana dia.

“Paling saya rindukan tentunya untuk mencium tangannya memohon keampunan di pagi Syawal sebagaimana rutin selalu.

“Jadi, apabila sudah dua tahun tidak dapat melakukan perkara itu, saya rasa sangat sayu dan tidak putus berdoa agar ada kesempatan untuk meneruskan rutin itu pada Syawal akan datang,” luahnya.

Ramlah raya bersendirian di Kuala Lumpur.

Tambah memilukan, kata Ramlah yang popular dengan lagu Zapin Yang Tinggal itu, ibunya, Ne, 79, kerap bertanyakan soalan sama tentang kepulangannya menyambut raya bersama.

“Alhamdulillah ibu saya masih lagi sihat, cuma ingatannya tidak lagi seperti dulu dan sering lupa.

“Saya sudah maklumkan pada dia tidak dapat balik beraya kerana PKP, tapi tidak lama selepas itu dia akan tanya lagi soalan sama dan terpaksalah saya jelaskan sekali lagi.

“Bila dia tanya berulang kali, saya tak dapat tahan kesedihan. Apatah lagi bila dia kata, kalau ada umur panjang kita jumpa lagi,” ujarnya.

Iklan

Berkongsi sambutan rayanya kali ini, kata Ramlah, dia tidak membuat sebarang persiapan raya disebabkan akur dengan pelaksanaan PKP kali ketiga.

“Raya tetap raya, cuma saya tidak membuat persiapan sebagaimana sebelum ini. Tak ada baju raya, mahupun kuih raya.

“Lagi pun saya hanya raya sendiri, tanpa ada suami atau anak-anak. Berbeza dengan orang lain yang tak dapat balik beraya di kampung, tapi masih dapat meraikan Syawal bersama orang tersayang.

Iklan

“Apa pun saya bersyukur kerana masih ada kakak dan anak buah di Kuala Lumpur. Jadi dapatlah menumpang kasih dan beraya bersama,” katanya yang baru sahaja tampil dengan lagu raya berjudul Kemenangan.

 

(FOTO: Rosli Talib)