Bimbang terganggu dengan Erma, Sherie Merlis elak baca keseluruhan skrip

September 24, 2021
Oleh Aqmar Mustaza

PELAKON berbakat besar, Sherie Merlis mengakui teruja dan bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk membawakan karakter berbeza dalam drama Astro Originals iaitu I-Tanggang.

Drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy itu sudah mula menemui penonton di Astro Citra, saluran 108 setiap Isnin jam 9 malam.

Berkongsi mengenai karakternya sebagai Erma, Sherie berkata, dia sejujurnya pertama kali mendengar mengenai penyakit itu ketika ditawarkan watak oleh penerbit dan pengarah, Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Katanya, bagi memastikan dia memahami karakter pesakit itu, dia banyak membuat kajian dan menonton beberapa filem luar negara.

“Saya memang tak pernah tahu mengenai penyakit ini dan ambil masa lama untuk memahami. Bila masuk set, saya banyak rujuk pengarah, bagaimana corak karakter yang dimahukan.

“Sejujurnya saya sendiri geram dengan karakter Erma ini dan disebabkan tidak mahu terganggu dengan kekejamannya, saya elak daripada membaca keseluruhan skrip supaya ada kejutan kepada saya.

“Saya juga sangat gembira apabila diberi watak berbeza setelah sekian lama menggalas watak wanita yang tertindas.

Iklan

“Bagi saya drama ini secara tidak langsung memberi kesedaran mengenai penyakit  yang mungkin tidak disedari orang lain sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui media menerusi sidang media secara maya, baru-baru ini.

Sherie bergandingan bersama adik Danish Hazriq dalam drama Astro Original I-Tanggang.

Tambah Sherie, 48, dia juga mencabar dirinya demi Erma dan bersedia seandai lakonannya mendapat cemuhan dan kritikan penonton setia I-Tanggang.

“Tidak banyak babak yang perlu diulang walaupun saya bersedia seandainya pengarah nak ulang babak yang dibuat.

“Cuma babak yang memerlukan saya memandu pada awalnya memberi cabaran pada saya.

Iklan

“Bagaimanapun bila diberitahu babak itu tidak memerlukan saya memandu betul-betul, saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menghayati sepenuhnya watak saya tanpa perlu risau keselamatan adik Danish Hazriq yang menjadi anak saya dalam drama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dirinya yang lama menghilang sejak tahun lalu, Sherie berkata, dia sebenarnya tersangkut lama di Kuching, Sarawak akibat pandemik Covid-19.

Dia yang pada awalnya berada di sana untuk menjayakan sebuah penggambaran filem akhirnya tersangkut dan tidak dapat pulang ke Semenanjung.

“Saya bukan menghilang, saya tersangkut di Kuching kerana penularan Covid-19 tahun lalu. Pada awalnya pihak produksi sudah mengatur penerbangan untuk saya pulang ke Semenanjung, tetapi disebabkan Covid-19 yang semakin teruk, tiada penerbangan keluar.

“Hanya pada bulan Ogos tahun lalu baru saya berpeluang kembali ke sini. Sepanjang tempoh itu saya hanya berehat dan I-Tanggang adalah projek pertama saya selepas lama berehat.

“Insya-ALLAH selepas ini sudah ada dua tawaran drama yang perlu dilunaskan,” katanya.