PELAKON dan penulis lirik, Bob Lokman meninggal dunia di kampung halamannya, Kubang Kerian, Kelantan pada Jumaat.

Berita sedih itu disahkan sendiri ibu tiri Allahyarham sebentar tadi.

Menurutnya, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lukman sebelum itu mengadu sakit pada jam 3 pagi.

“Pagi tadi isterinya ada telefon memberitahu Bob Lokman gelisah kerana sakit dan tak dapat tidur.

“Dia baru saja meninggal dunia tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bob yang merupakan penulis lirik kumpulan legenda tanah air termasuk Isabella dan Taman Rashidah Utama menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 58 tahun.

Iklan

Sejak beberapa tahun lalu, Bob pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat masalah jantung.

Pada 22 Jun lalu kesihatan penulis lirik Isabella itu dilaporkan semakin merudum apabila tahap penggunaan jantungnya hanya tinggal 10 peratus.

Iklan

Arwah ketika itu bergantung pada alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

Bob pada April lalu juga dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@lIUM) di Kuantan, Pahang ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang.