Brad Pitt kembali curi tumpuan, debaran dan kejutan dalam Bullet Train

A
A
A

SELEPAS kali terakhir muncul sebagai teraju utama tiga tahun lalu menerusi filem Once Upon a Time in Hollywood dan juga Ad Astra, aktor popular Hollywood, Brad Pitt kini tampil dengan lakonan terbaharunya, Bullet Train.

Filem arahan David Leitch yang merupakan adaptasi daripada novel Jepun, Maria Beetle, hasil karya Kotaro Isaka itu kini sedang hangat ditayangkan di pawagam tanah air bermula 4 Ogos lalu.

Bullet Train mengisahkan tentang sekumpulan pembunuh upahan yang berada di dalam sebuah kereta api berkelajuan tinggi di Jepun mempunyai misi sama untuk menjejak sebuah beg bimbit misteri.

Misi mereka semakin mencabar apabila setiap pembunuh upahan ini mula menyedari mereka sebenarnya saling berkaitan antara satu sama lain sehingga berlaku huru-hara serta pertarungan mendebarkan sepanjang perjalanan dari bandar Tokyo ke Kyoto.

Mengubati rindu peminat terhadap filem aksi daripada lakonannya, Brad Pitt ternyata tampil dengan persembahan lakonan yang cukup menghiburkan. Apatah lagi hampir 95 peratus aksinya dalam filem ini dilakukan sendiri, sekali gus memberi kepuasan kepada penonton.

Tidak hanya menumpukan kepada watak Pitt sebagai Ladybug, filem ini turut memberi peluang sama rata kepada watak-watak lain untuk menyerlah. Barisan pelakon seperti Joey King, Aaron Taylor-Johnson, Brian Tyree Henry dan Andrew Koji berjaya memainkan peranan mereka dengan cukup baik sehingga kemunculan mereka diingati penonton.

Elemen komedi yang diselitkan menerusi watak Tengerine dan Lemon juga antara yang dinantikan penonton pada setiap babak, biarpun ada ketikanya seriau dengan aksi kejam mereka.

Menyentuh tentang babak-babak aksi yang disajikan, pastinya memberi hiburan tersendiri kepada penonton. Banyak aksi pertarungan yang penuh kejutan dan mendebarkan termasuk babak-babak ‘berdarah’ pembunuhan kejam yang ditampilkan, sekali gus meletakkan filem ini hanya untuk tontonan golongan dewasa dengan klasifikasi 18.

Sesuatu yang menarik juga adalah paparan budaya Jepun yang turut diselitkan dengan cukup baik dan meninggalkan impak. Cuma sayang sedikit apabila filem ini tampil dengan jalan cerita yang klise dan ringan untuk sebuah filem aksi.

Bagaimanapun, Bullet Train tetap berbaloi untuk ditonton terutamanya para peminat filem aksi dan barisan pelakon yang membintangi filem ini, termasuk ‘cameo’ daripada Sandra Bullock, Channing Tatum dan lain-lain.

Antara babak menarik dalam Bullet Train.

Bullet Train

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: 18

Genre: Aksi/thriller

Durasi: 2 jam 7 minit

Pengarah: David Leitch

Pelakon Suara: Brad Pitt, Joey King, Aaron Taylor-Johnson, Brian Tyree Henry, Andrew Koji, Hiroyuki Sanada

Tarikh Tayangan: 4 Ogos 2022

Edaran: Sony Pictures Entertainment

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca