BIAR apa pun tanggapan diberikan orang sekeliling, penyanyi Pasya tidak melihat keputusan kembali menjadi pemuzik jalanan selepas dikenali ramai sebagai sesuatu kesalahan.

Bagi pemilik nama sebenar, Faizul Asyraf Fauzi, 27, di manapun dia mengadakan persembahan bukanlah ukuran, sebaliknya bakat dan karya dikongsi dapat dinikmati oleh semua.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, populariti yang dikecapi selepas menyertai program Mentor musim ketujuh lebih tiga tahun lalu tidak menjadikan dia lupa asal usul.

“Saya bermula sebagai penyanyi jalanan. Di situlah saya mengenal muzik dan kehidupan. Jadi tidak salah jika saya kembali biarpun sudah dikenali.

“Apatah lagi selepas pandemik Covid-19 melanda, industri seni seakan terhenti seketika apabila banyak aktiviti tidak dapat dijalankan.

“Jadi saya melihat ia sebagai satu kesempatan terbaik untuk busking macam dulu, selain meneruskan kelangsungan hidup sebagai anak seni,” jelasnya kepada SinarPlus.

Menurut Pasya, selepas aktif dan sibuk dengan pelbagai aktiviti dalam muzik arus perdana, dia berhenti seketika menjadi penyanyi jalanan yang diceburi sejak tahun 2006 itu.

“Selepas menyertai Mentor, saya tinggalkan sekejap busking kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti seni melibatkan persembahan pentas, program TV dan penghasilan single.

“Apabila pandemik melanda tahun lalu, situasi jadi berbeza. Saya buntu memikirkan nasib diri dan mengambil keputusan untuk kembali menyanyi di jalanan. Namun ia tidak semudah disangka kerana banyak tempat ditutup.

“Jadi saya dan rakan-rakan tekad keluar kota dan memilih persekitaran berbeza seperti di Pulau Tioman, Kuantan dan Perlis untuk tujuan tersebut,” jelasnya.

Bakal tampil single baharu

Puas dapat kembali mengadakan persembahan di jalanan, Pasya mengakui tidak pernah berasa malu dengan pilihan tersebut.

Iklan

“Pada awalnya saya dalam dilema juga untuk busking semula kerana ada pihak yang menasihati saya agar jaga nama dan reputasi kerana sudah dikenali. Bagaimanapun saya tetapkan hati untuk meneruskan apa yang saya mahu lakukan.

“Lebih menggembirakan, maklum balas orang ramai sangat baik. Mereka datang jumpa dan memberikan semangat kepada saya. Tiada langsung kecaman atau sindiran yang diberikan.

“Buat apa nak malu dalam soal mencari rezeki. Orang yang kerja bagus sebelum ini pun boleh berubah kerjaya menjadi penghantar makanan, apatah lagi saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pasya bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi, sebelum kontraknya bersama syarikat rakaman, Alternate Records berakhir pada Januari tahun depan.

Iklan

“Insya-ALLAH saya akan masuk studio merakamkan single baharu pada pertengahan Oktober ini. Sekarang masih dalam proses pemilihan lagu dan saya berharap dapat menampilkan karya terbaik buat peminat.

“Walaupun kembali busking, saya tetap akan aktif dalam muzik arus perdana. Jika ada rezeki, saya merancang untuk buka studio sendiri selepas tamat kontrak nanti,” kata Pasya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Al Pasya (@pasyaaaaaaaaaaaaaa)