Buat persediaan sebelum masuk set penggambaran - Nabila Huda
PELAKON Nabila Huda tidak pernah melihat isu pengambilan pelakon baharu daripada kalangan pempengaruh media sosial (influencer) dalam sesebuah penerbitan drama atau filem sebagai sesuatu yang salah.
Malah Nabila, 37, itu percaya penerbit dan stesen TV mempunyai alasan mereka yang tersendiri dalam pemilihan itu, apatah lagi ia sememangnya menjadi trend generasi hari ini untuk mengangkat golongan tersebut.
Bagaimanapun, Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil menyarankan agar bintang baharu terbabit terlebih dahulu diberi latihan dan persediaan asas sebelum masuk ke set penggambaran.
“Saya tak ada masalah pun jika penerbit mahu mengambil influencer untuk diberikan karakter utama, cuma saya sarankan agar pihak terbabit membantu bintang baharu ini dengan menyediakan latihan atau kelas lakonan buat mereka sebelum masuk set.
“Memang mereka ini sudah biasa beraksi di depan kamera untuk konten di media sosial, tetapi ia tidak sama dengan set penggambaran sebenar.
“Jadi keluarkan sedikit bajet untuk membantu mereka membuat persediaan dan asah kemahiran lakonan mereka terlebih dahulu agar proses penggambaran menjadi mudah untuk semua orang,” katanya ketika sidang media secara maya drama Diva Popular, Rabu lalu.
Dalam masa sama, akui Abil, dia kadang-kala turut berasa simpati apabila melihat ramai pelakon baharu dari kalangan influencer menerima pelbagai kecaman disebabkan lakonan mereka yang dikatakan tidak memenuhi tahap diharapkan.
“Sebab itulah pentingkan membuat persediaan dan belajar tentang asas lakonan supaya bila masuk set, mereka sudah bersedia serta tidak kekok apabila berada di depan kamera.
“Saya kasihan melihat mereka yang tidak ada asas lakonan ini diberi karakter utama dan bila tidak perform, mereka diketawakan dan dikecam penonton.
“Jadi pada saya, bintang baharu ini kena rajin belajar. Kalau tak ada pengalaman, cari pengalaman dengan mengambil watak-watak kecil dahulu untuk biasakan diri dan fahami tentang skill lakonan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, percubaan Abil menjayakan watak komedi menerusi drama Diva Popular yang kini hangat ditayangkan di Awesome TV, mendapat reaksi positif daripada peminat yang rata-ratanya mengakui terhibur dengan karakternya sebagai Erma Erika.
(FOTO: Instagram Nabila Huda)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang