KUMPULAN nasyid popular, InTeam menyerahkan cek bernilai RM370,000 hasil kutipan dana kepada Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) untuk kempen Musim Sejuk Syria Siri 10, baru-baru ini.

Anggotanya, Hazamin berkata, hasil kutipan itu adalah jumlah terkumpul selama lima bulan menerusi sumbangan peminat dan penyokong InTeam sendiri.

“Alhamdulillah, dalam tempoh lima bulan kami berjaya mengumpul sehingga RM370,000 dan disumbangkan kepada Peduli Insan untuk menjayakan kempen Musim Sejuk Syria Siri 10 ini.

“Sepanjang Ramadan lalu, kami berkongsi video lakonan yang secara tak langsung, membawa mesej positif mengenai kempen ini. Selain itu, kami juga membuat video secara langsung.

“Semua hantaran itu kami buat setiap hari dan secara tak langsung mewujudkan kesedaran kepada ramai anggota masyarakat yang terdiri daripada peminat dan penyokong kami untuk turut sama membantu menyumbang,” katanya.

Iklan
Kumpulan Inteam merancang untuk memberi lebih fokus kepada misi kemanusiaan pada tahun 2022.

InTeam yang popular menerusi lagu Nur Kasih itu juga kini menjadi duta Peduli Insan untuk mendekatkan masyarakat dengan kempen kemanusiaan anjuran pertubuhan itu.

“Peranan InTeam adalah untuk menyebarkan dan mewujudkan kesedaran menerusi pelbagai platform antaranya media sosial.

Iklan

“Insya-ALLAH, kami juga akan menerbitkan satu lagu khas berkaitan kempen kemanusiaan ini dan akan dilancarkan menjelang tahun hadapan,” ujarnya yang memaklumkan InTeam akan terlibat dengan lebih banyak projek misi kemanusiaan pada 2022 dan berhasrat untuk turun sendiri ke Syria jika diberi kesempatan.