NAMA Khairul Idzwan Baharin barangkali agak asing bagi peminat industri seni, namun pada yang meminati dunia nasyid, pasti mengenalinya bersama kumpulan Saujana.

Pernah mencipta fenomena menerusi lagu Sepohon Kayu 25 tahun lalu, Khairul Idzwan Baharin atau kini lebih dikenali dengan nama Idzu Baharin ‘hilang’ seketika daripada radar industri seni tidak lama selepas itu.

Namun, kehilangannya bukan kerana merajuk atau kecil hati, sebaliknya, Idzu mengambil keputusan untuk ‘berehat’ daripada industri muzik tanah air bermula 2006 dan memberi fokus kepada kerjaya baharu sebagai doktor perubatan di sebuah hospital.

Kini, Idzu, 41, bersedia untuk kembali menyemarakkan industri seni secara solo. Sebagai permulaan, beliau mempertaruhkan lagu berkonsep ketuhanan dengan sedikit elemen R&B menerusi Ku Serah, hasil ciptaannya bersama Ahmad Jeffny dan diterbitkan oleh Kharisma Music.

“Minat dan cinta saya terhadap bidang nyanyian tidak pernah padam. Kalau nak kata senyap, itu kerana saya lebih fokus memulakan kerjaya dalam bidang perubatan.

“Selepas beberapa tahun, saya sertai bidang penyelidikan dan pengilangan. Boleh dikatakan sibuk dengan kerja hinggalah saya masuk ke dalam bisnes pula menerusi Cell Tissue Technology Sdn Bhd.

“Dahulu masa agak terhad. Hanya selepas terlibat dalam bisnes, masa itu kembali ada. Jadi saya gunakan ruang terluang untuk aktif menyanyi semula,” ujarnya membuka bicara.

DR IDZU
Biarpun sudah bergelar doktor, Idzu tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

Tambah Idzu, kemun-culan dengan single tersebut tidak hanya untuk mengejar kemasyhuran semata-mata tetapi lebih kepada berkongsi karya dengan peminat yang setia bersama dirinya dan Saujana termasuk generasi baharu yang mula mengenali mereka.

“Bila saya muncul di media sosial, mereka berminat untuk lebih mengenali saya. Lagu-lagu masih lagi popular dan mereka pun diajar dengan lagu-lagu kami semasa di sekolah.

Iklan

“Mereka rasa dekat tapi tak pasti siapa orang di sebaliknya. Ini adalah kelompok peminat baharu yang saya mula nak kenal sejak aktif dalam media sosial.

“Boleh dikatakan, sebab kemunculan sebenarnya lebih kepada mengubat kerinduan. Saya rindu nak menyanyi. Saya juga masih aktif dengan Saujana dan kami baru sahaja selesai rakaman video muzik Sepohon Kayu (remake). Ia bersempena ulang tahun kami yang ke-25 tahun,” jelasnya.

Iklan

Imbau kembali

Berkongsi lanjut mengenai lagu Ku Serah, Idzu berkata, penghasilan lagu itu lebih kepada mahu mengajak peminat mengimbau kembali perjalanannya sebagai anak seni ketika mula bersama Saujana.

“Lagu ini sebenarnya macam ad-hoc sahaja. Kebetulan saya baru meraikan hari jadi, saya rasa macam lebih matang sekarang dan lebih kepada nak memperbaiki diri.

“Saya anggap genre ketuhanan ini sesuai untuk mereka mengimbau semula kenangan lama sebab ramai yang datang balik kepada saya dan cakap mereka membesar dengan lagu-lagu Saujana,” kata Idzu.