BIARPUN baru sahaja dua tahun bergiat aktif dalam industri muzik tanah air, nama Bunga Isme semakin mewangi seiring tuah dan rezeki yang dimiliki.

Bukan sahaja mencuri perhatian ramai menerusi gaya dan penampilan unik menggayakan baju kurung ketika tampil membuat persembahan di pentas, tetapi rapper wanita berhijab ini turut dikenali menerusi kolaboratifnya bersama nama-nama besar dalam industri seperti Joe Flizzow, Noraniza Idris dan Siti Nordiana.

Bersyukur perjalanan awalnya dalam bidang seni dipermudahkan, pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari ini mahu menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya menerusi penghasilan karya-karya hebat yang mampu dibanggakan.

“Alhamdulillah selepas dua tahun, karya-karya saya semakin dikenali dan diterima ramai. Memang saya tidak nafikan kolaboratif bersama beberapa nama besar dalam industri banyak membantu memperkenalkan nama saya kepada umum.

“Terpulang jika ada yang menganggap ia sebagai menumpang populariti artis terbabit, tetapi saya sangat bersyukur kerana peluang sebegini tidak selalu datang.

“Menghargai peluang itu, saya tentunya mahu memberikan yang terbaik dengan menghasilkan karya-karya berkualiti dan membanggakan,” jelasnya.

Membuktikan kata-kata tersebut, Bunga yang turut dikenali menerusi single Mereng itu sentiasa tampil dengan kelainan dan menyajikan sesuatu yang baharu buat peminat muzik.

Cukup sinonim dengan lagu-lagu hip hop yang diselitkan dengan elemen muzik tradisional, beliau mengakui bangga dapat mengajak peminat muzik generasi baharu untuk mengenali genre muzik yang semakin dilupakan itu.

“Pada awalnya takut juga orang tak dapat terima lagu hip hop yang disuntik dengan elemen tradisional kerana genrenya sangat berlainan.

“Bagaimanapun apabila single saya bersama Noraniza Idris yang berjudul Intan Payung diterima ramai, saya mula yakin dengan apa yang diusahakan itu.

“Saya percaya kolaboratif terbaru bersama Siti Nordiana menerusi lagu Amaran juga bakal memberikan hasil positif kerana pendengar memang mahukan kelainan dan sesuatu yang baharu,” katanya yang mahu terus mencari formula terbaik menghasilkan karya-karya lebih segar.

Cabar diri

Pada usia 21 tahun, Bunga mengakui tidak gentar berdepan cabaran, malah sentiasa mencabar diri untuk terus berani dalam karya.

Justeru, meskipun memilih genre hip hop sebagai landasan perjuangan muziknya, bintang muda sedang meningkat naik ini mengakui tidak mahu meninggalkan elemen muzik tradisional di belakang.

“Walaupun bawa muzik hip hop, tetapi saya memang begitu meminati warisan tradisional. Bukan sahaja melibatkan elemen muzik, tetapi juga pakaian sebagainya.

“Jadi setiap kali menghasilkan karya baharu, saya sentiasa cuba menyelitkan elemen-elemen sebegitu walaupun tidak banyak.

Iklan

“Saya mahu generasi seangkatan saya dapat mengenali dan seterusnya dekat dengan muzik tradisional biarpun meminati muzik moden,” ujarnya yang sudah tampil dengan empat single solo.

Berkongsi perancangan seninya pada tahun depan, beliau kini dalam proses pembikinan album pertamanya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Tahun 2021 sudah sampai ke penghujung dan tentunya saya mempunyai banyak perancangan pada tahun depan terutamanya untuk menyiapkan album sulung saya.

“Bukan sekadar menyanyi atau mencipta lagu, tetapi saya juga terlibat sepenuhnya dalam proses penerbitan dan mengambil tahu semua perkara daripada A hingga Z.

Iklan

“Jujurnya saya sangat teliti sepanjang proses pembikinan album ini kerana mahu memastikan hasilnya nanti berkualiti, sekali gus memberi kepuasan pada diri sendiri dan mereka yang mendengar,” katanya.

Dalam pada rancak mengatur perancangan kerjaya seninya, Bunga bagaimanapun tidak terlepas daripada terpalit gosip apabila dikaitkan menjadi punca hubungan cinta pasangan penyanyi popular terputus di tengah jalan.

Menganggap gosip sebagai asam garam dunia hiburan, beliau mengakui mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani situasi tersebut.

“Saya masih baru dalam industri dan tentunya terkejut apabila berdepan situasi sebegini.

“Apa-apapun saya sentiasa bersikap positif dan cuba untuk tidak melayani perkara-perkara yang tidak memberi manfaat pada kerjaya,” katanya.