Bunga Isme pilih Noraniza Idris kerana aura keibuan   

A
A
A

NAMA Noor Ayu Fatini atau lebih dikenali dengan panggilan Bunga Isme mula menjadi perhatian tatkala muncul berbaju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow pada 2019.

Bertitik tolak dari itu, Bunga memulakan kerjayanya sebagai penyanyi rap wanita dengan pelancaran single debutnya berjudul Bunga.

Pada Ogos 2020, penyanyi rap itu kemudiannya menceburi bidang lakonan sebagai teraju utama sebuah telefilem berjudul Aku, Bunga sekali gus melancarkan single keduanya berjudul Apedehal.

Tidak menunggu lama selepas itu, Bunga menghasilkan pula 300 Saat, sebuah lagu duet bersama Amzar Sabri daripada kumpulan duo Razqa, yang sehingga kini telah mencapai lebih sejuta tontonan di YouTube sejak mula dilancarkan pada 25 September 2020.

Bagi meneruskan lagi momentum kerjaya seninya, gadis berusia 21 tahun itu tampil dengan single duet berjudul Intan Payung yang menggandingkannya dengan Ratu Etnik Pop Malaysia, Noraniza Idris.

Intan Payung merupakan ciptaan bersama Bunga dan Luca Sickta.

Bunga Isme, bintang muda yang semakin meningkat naik.

Berkongsi mengenai single baharunya itu, Bunga berkata, dia dan Luca memasukkan elemen muzik gamelan dan nasihat dalam lagu.

“Diilhamkan daripada perjalanan saya sendiri dan orang sekeliling, saya berpegang pada kata-kata bahawa kisah kejayaan yang terbaik selalunya  bermula dengan kegagalan.

“Tidak ada manusia yang dilahirkan hanya untuk mencapai kejayaan tanpa sebarang usaha.

“Semua orang kena berjuang dalam perjalanan ke puncak kejayaan. Untuk mencapai impian; usaha yang gagal, tersadung, terhalang atau membuat perubahan arah yang radikal adalah kunci kepada kejayaan.

“Kegagalan mendewasakan dan menjadikan kita lebih baik daripada semalam serta dalam apa yang dilakukan.

“Dengan lagu ini, saya cuba mengatakan jangan putus asa apabila hidup tidak berjalan lancar. Saya harap lagu ini menjadi lagu kehidupan generasi saya yang masih mencari jalan untuk masa depan yang lebih baik,” jelasnya.

Ditanya penglibatan Noraniza Idris, Bunga berkata, dia sangat teruja apabila Noraniza sudi bekerjasama dengannya.

Malah Bunga sendiri pernah membayangkan figura berusia 53 tahun itu menyanyikan bahagian korus lagu tersebut, ibarat seorang ibu menasihati anaknya.

“Saya sangat teruja dan rasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkolaboratif dengan Kak Ani dalam Intan Payung.

“Kehadirannya menyerikan lagi lagu dan menaikkan nuansa Melayu lagu ini dengan gaya nyanyian tradisional Melayunya,” jelasnya.

Intan Payung terbitan Warner Music Malaysia boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

https://youtu.be/xyxVL5L-NE0

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca