KEMAMPUAN vokal penyanyi Vanessa Reynauld tidak disangkal antara yang cukup hebat. Bahkan lagu berentak balada bernada tinggi adalah ‘forte’ buatnya.

Bagaimanapun, kemampuan vokal Vanessa ternyata dicabar apabila menyanyikan lagu baharu berjudul Buat Ku Sempurna ciptaan sepenuhnya oleh Faizal Tahir dan Mage.

Ujar Vanessa, pengalaman menyanyikan lagu itu membuatkan dia sedar masih banyak harus diasah untuk menjadi penyanyi balada terunggul.

“Sebenarnya bila dengar demo Faizal, nyanyiannya kedengaran begitu senang. Tetapi, apabila giliran saya untuk nyanyikan, sangat sukar. Karya ini ada turun naiknya dan sangat teknikal.

“Daripada suara dada kepada suara kepala, tiba-tiba tukar sana sini. Saya turut berdepan kesukaran untuk menyuntik feel terbaik kerana perlu mengambil kira aspek teknik dan perasaan agar seiring.

“Tidak dinafikan lagu ini paling susah pernah saya nyanyikan setakat ini,” katanya.

Tambah Vanessa, ada cabaran lain yang perlu diatasi demi memastikan hasil akhirnya dapat disempurnakan dengan baik.

“Saya perlu keluar dari zon selesa. Sebelum ini, saya buka mulut nyanyi saja, terus tembak pada nota tinggi.

Iklan

“Ia berat kepada saluran emosi dan penyampaiannya perlu dilakukan dengan penuh kelembutan. Itu yang sebenarnya menjadi cabaran besar buat saya.

“Semestinya saya berharap ramai akan sukakan single ini dan menerimanya dengan hati terbuka. Paling penting, semoga keseluruhan lagu ini dekat dengan kisah orang ramai.

“Kita semua pasti pernah menempuh pengalaman berbeza dalam kehidupan. Saya harap sangat ia mampu sampai ke dalam hati dan menyentuh sanubari pendengar,” ujarnya.

Iklan

Buat Ku Sempurna boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music.