MESKIPUN tidak dapat menjayakan persembahan pentas dan bertemu empat mata dengan peminat secara fizikal disebabkan kekangan pandemik, kumpulan Voices of Euphonious atau VE mempunyai cara tersendiri untuk kekal aktif.

VE yang dianggotai oleh Zaf, Cham, Adeep dan Hakim mengambil pendekatan terus mendekati peminat mereka secara maya dengan memperkenalkan PKP Buddies. Ia dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka berkongsi sesuatu yang positif dan bermanfaat.

Menerusi PKP Buddies, VE mengadakan sesi siaran langsung di Instagram rasmi mereka, @_veofficial secara konsiten pada setiap minggu melalui segmen yang dikenali sebagai Supper With VE.

Menurut Zaf, pendekatan tersebut merupakan satu usaha untuk memberikan lorongan iktiar kepada golongan yang memerlukan sokongan dan bantuan pada saat sukar ini.

“Menerusi sesi siaran langsung di Instagram itu, kami akan membawa seorang selebriti dan wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO), individu mahupun organisasi yang aktif memberi sokongan terhadap kempen Bendera Putih.

“Kami akan membuat perkongsian tentang pelbagai perkara dengan harapan ia dapat memberi sedikit harapan atau ikhtiar kepada peminat dan pengikut di media sosial yang sedang susah dan tersepit dengan masalah kewangan ketika ini,” ujarnya.

Tidak hanya itu, segmen tersebut juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menjana pendapatan dan berkongsi rezeki.

“Ada kalangan selebriti jemputan atau individu yang terlibat dalam sesi ini turut berkongsi peluang untuk jana pendapatan.

“Kami hanya mahu menyebarkan dan berkongsi manfaat pada saat mereka memerlukan, sebagai tanda menghargai sokongan mereka terhadap kepada VE selama ini.

“VE mahu jadi seperti ‘buddy’ bersama peminat yang rata-ratanya memerlukan sokongan emosi dan idea untuk terus mencari rezeki,” katanya.

Dalam masa sama, mulai minggu lalu VE juga membuka ruang kepada para pengikut mereka berkongsi bakat menerusi segmen Open Mic With VE, pada setiap Selasa, jam 10 malam.

Iklan

Jelas Adeep, segmen itu turut mendapat sambutan ramai apabila VE banyak berkongsi tip menarik berkenaan dunia seni dan persembahan.

“Seronok layan mereka yang memberanikan diri berkongsi bakat bersama kami. Bukan sahaja dari Malaysia, tetapi ada juga peminat dari Brunei yang turut serta.

“Mereka mahu mendengar komen ikhlas daripada VE, selain perkongsian tip-tip menarik untuk bergelar penghibur. Alhamdulillah, mereka gembira dengan sesi itu,” kata Adeep.

Dalam perkembagan lain, VE kembali membuat kemunculan semula menerusi dua single baharu mereka iaitu Tunggu, sekitar bulan Mac dan diikuti Antara Cinta dan Ghairah pada April lalu.

Iklan

“Biarpun berdepan dengan situasi mencabar dalam industri seni tanah air di mana banyak aktiviti dan program terpaksa ditangguhkan, namun VE bersemangat menghasilkan karya dan mempromosikan single baharu kami.

“Kami tetap bergerak secara maya dan akan muncul dengan hiburan dari rumah menerusi VE House Jam.

“Kami cuba bertahan dan memberikan manfaat sebaiknya untuk semua, insya-ALLAH,” akhiri Adeep.