DRAMA bersiri Ayahanda yang diinspirasi daripada novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah mencipta rekod luar biasa apabila mencatatkan empat juta penonton menerusi episod akhirnya yang bersiaran di TV3, pada 31 Julai lalu.

Gandingan mantap pelakon Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud ternyata telah memberikan sentuhan magis pada watak mereka sebagai suami isteri, Haji Abdullah dan Hajah Noriah yang berhadapan pelbagai konflik dengan anak-anak.

Jalan cerita yang dipaparkan juga membuatkan penonton meruntun jiwa kerana kebanyakannya sedang merindui orang tua dan ahli keluarga yang berjauhan dalam keadaan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, karya sastera biasanya ditampilkan dalam bentuk telefilem, namun berbeza untuk naskhah ini yang diterbitkan sebagai drama bersiri.

Ia secara tidak langsung memberi lebih ruang kepada pengarah, penulis skrip dan para pelakon untuk berkarya secara kreatif serta menzahirkan perjalanan kisah hidup Haji Abdullah dengan lebih terperinci dan sempurna.

TV3 mengambil inisiatif mengangkat novel Ayahanda ke medium lebih popular supaya lebih ramai penonton boleh menghayati hasil karya agung tempatan.

Penerbit drama Ayahanda, Fadzil Teh, berkata, peluang tersebut merupakan satu penghargaan besar buat syarikat produksinya, Zeel Production untuk tampil dengan naskhah hebat itu.

“Ini merupakan satu penghargaan besar buat saya dan Zeel Production kerana dapat menerbitkan naskhah hebat ini, lebih-lebih lagi karya ini nukilan asal seorang sasterawan yang disegani.

“Saya bersyukur dengan penerimaan baik, respon dan pujian daripada penonton, rakan industri dan ramai pihak yang menonton drama Ayahanda ini.

Iklan

“Naskhah ini istimewa dan ditayangkan pula pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana ramai yang menonton ikut sama merindui mak, ayah dan keluarga mereka di kampung. Semoga drama ini memberi teladan yang baik buat semua,” katanya.

Drama Ayahanda terbitan Zeel Production diarahkan oleh Datuk Ahmad Tamimi Siregar, manakala skrip pula oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan.

Iklan

Selain Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud, drama ini turut dibintangi Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Hairi Safwan dan Fikry Ibrahim.

Ayahanda mencatatkan 2.4 juta penonton secara purata selepas mula bersiaran pada 10 Julai lalu, setiap hari Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.

Kejayaan drama ini membuktikan pengolahan karya sastera juga berupaya mendapat sambutan baik jika dipersembahkan dengan kemas oleh penggiat seni yang berpengalaman.