DUA dekad lalu, dunia kulinari di Malaysia tidak seperti sekarang. Masyarakat pada era itu masih skeptikal sekiranya seorang lelaki meminati, apalagi menceburi bidang masakan.

Atas faktor itulah Muhammad Naim Ramli atau dikenali sebagai Cef Naem menyembunyikan kecenderungannya itu ketika usianya belasan tahun. Beliau tiada keberanian untuk mencanang kecondongannya itu dan akhirnya mengambil sikap mendiamkan diri.

Kata personaliti berusia 30 tahun itu, beliau lebih senang jika rakan-rakan di sekolah melihat personalitinya sebagai seorang pelajar lelaki yang lasak dan nakal.

“Waktu itu masyarakat agak memandang serong kepada lelaki yang suka duduk di dapur kerana ia dianggap lebih dekat dengan kaum Hawa.

“Saya terpaksa sembunyi bakat dan tidak pernah memberitahu sesiapapun minat atau kemahiran memasak yang saya miliki, walaupun dengan kenalan rapat. Cukuplah sekadar ahli keluarga saja yang tahu,“ ujarnya sambil melepaskan ketawa kecil saat memulakan perbualan bersama SinarPlus secara maya baru-baru ini.

Sememangnya kami bercadang untuk bersua, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasrat itu terpaksa ditangguhkan demi keselamatan bersama.

Penulis kemudian bertanyakan kepadanya, adakah ibu, ayah mahupun adik beradiknya tidak kisah dengan cita-citanya mahu menjadi tukang masak? Dengan nada ceria, Cef Naem meluahkan rasa syukur kerana kesemua mereka mempunyai perspektif berbeza dengan orang di luar sana.

“Apa yang saya boleh katakan, ahli keluarga saya sedikitpun tidak prejudis terhadap keputusan saya untuk menjadikan profesion tukang masak sebagai kerjaya tetap saya,“ katanya.

Selepas memperoleh lampu hijau, maka eksplorasi Cef Naem ‘berperang‘ dengan sudip dan senduk di dapur semakin serius dan semangatnya semakin berkobar-kobar.

Tidak mahu hanya berbekalkan bakat memasak semata-mata, beliau kemudian mengambil langkah dengan melanjutkan pengajian dalam Diploma Seni Kulinari di Universiti Sunway di Subang Jaya, Selangor.

Benar, jika kita mendapat restu daripada orang tua, segalanya akan dipermudahkan dan sesungguhnya, rezeki itu memang tidak pernah salah alamat.

Itulah yang berlaku kepada Cef Naem. Beliau tidak menyangka percubaan yang pada asalnya sekadar suka-suka dengan menyertai program realiti Hero Oven pada tahun 2016 membuahkan hasil. Beliau tergamam tatkala diumumkan sebagai juara pada musim pertama rancangan televisyen tersebut.

Sejak itu, tiada apa yang mampu menghalangnya daripada terus mara bekerja di hadapan kamera. Pada masa sama, beliau juga membuat satu keputusan besar dengan meninggalkan kerjayanya terdahulu di ceruk dapur di sebuah hotel lima bintang sebagai cef.

Akuinya, bukan mudah sebenarnya memulakan langkah pertama dalam dunia yang dilimpahi dengan glamor dan populariti.

“Dua perkara itu (glamor dan populariti) merupakan satu perkara asing buat saya sebetulnya. Sejujurnya, saya tidak pernah merancang apatah lagi berfikir untuk menjadi seorang cef selebriti.

“Perkataan selebriti itu juga pada saya sesuatu yang agak mustahil memandangkan diri ini seorang pemalu. Ingin memuat naik gambar sendiri di media sosial pun saya berasa malu kerana terlalu memikirkan apa pandangan orang lain terhadap saya nanti,“ imbaunya panjang lebar.

Pernah tersingkir

Pun demikian, ujar anak kedua daripada lima beradik itu, segalanya berubah selepas lima tahun ‘bergelumang‘ dengan dunia kamera.

“Saya mula belajar dan cuba sedaya upaya menghakis perasaan malu. Saya kuatkan hati dan berdikit-dikit membentuk keyakinan dalam diri ini,“ katanya.

Selepas kami bersembang lama, rupa-rupanya cef selebriti itu menyimpan kemas dulu plot kepayahan hidupnya sebelum beliau dikenali ramai.

Rupa-rupanya sebelum bergelar Hero Oven 2016, beliau pernah beberapa kali gagal dan tersingkir ketika menghadiri uji bakat program masakan.

Disebabkan selalu tewas, beliau sampai terfikir bahawa kerjaya sebagai cef di hotel mungkin lebih sesuai untuk dirinya.

Namun demikian, lelaki itu tidak mahu cepat mengalah. Beliau lantas mengaudit dirinya kembali. “Di mana silap dan kelemahan aku?“ Itu antara persoalan yang sentiasa berlegar dalam mindanya, katanya kepada penulis.

Selepas mencongak, kurangnya pengetahuan dan asas berinteraksi di hadapan kamera antara punca beliau tidak terpilih dalam mana-mana pertandingan.

“Susulan itu, saya mula banyak membaca buku dan berlatih bercakap di hadapan cermin. Saya juga mula mengubah cara berfikir dengan tidak terlalu memikirkan pandangan orang yang hanya akan menjejaskan motivasi diri,“ ujarnya yang terus bertekad dan enggan berpaling lagi.

Hasilnya, Cef Naem bukan sahaja mengendalikan program Dapur Panas dan Dapur Bujang yang masih bersiaran menerusi Unifi TV, malah wajahnya juga kerap muncul sebagai jemputan beberapa rancangan pengembaraan dan berkaitan masakan seperti CJ Wow Shop dan banyak lagi.

Dugaan PKP

Seperti orang lain, amukan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia membuatkan ramai terkesan. Begitu juga halnya dengan Cef Naem.

Siri PKP yang sudah memasuki tahun kedua benar-benar menghimpit beliau.

Mana tidaknya, baru sahaja memulakan langkah alternatif dengan membuka kedai makan untuk mempelbagaikan rezeki keluarganya, kerancakan yang dirasakan sebelum itu tidak bertahan lama.

Iklan

Kata Cef Naem, ‘tragedi‘ itu mahu dilupakan dan biarlah ia tersimpan kemas dalam lipatan sejarah.
Nampaknya, bapa kepada seorang cahaya mata itu tetap terus berusaha.

Beliau sekali lagi mengusahakan kedai makan baharu yang diberi nama Ngam Cafe by Chef Naem.

Terletak di Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor, masanya kini banyak dihabiskan di sana. Bukan sahaja terlibat dengan memasak, bahkan penghantaran juga akan dilakukan sekiranya berkelapangan.

“Tidak dinafikan pada awalnya saya sendiri berasa terkejut dan sukar untuk sesuaikan diri dengan norma baharu ini. Istilah PKP itu sendiri sesuatu yang asing dan kita tidak terfikir ia akan berlaku. Perkara ini memang akan memberi tekanan kepada sesetengah pihak termasuk diri saya.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengalah dan bulat-bulat menyerahkan nasib kepada keadaan. Setelah lebih setahun mengharungi kehidupan sebegini, saya mula belajar untuk menyesuaikan diri dan sentiasa bersedia untuk merentas pelbagai kebarangkalian yang mendatang,“ katanya memberi reaksi terhadap keadaan semasa.

Sesungguhnya, apabila ALLAH SWT menjadikan sesuatu, tidak mungkin ia sesuatu yang sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Di sebalik ranjau berduri yang dilaluinya, terselit seribu rahmat, kata Cef Naem.

“Alhamdulillah, dalam tempoh PKP ini juga, ia telah memberi kepada saya untuk bersama anak sulung saya, Adra Humairah yang bakal memasuki usia setahun tidak lama lagi,“ katanya.

Bercerita tentang cahaya mata, ritma perbualan beliau bertukar sedikit melankolik. Beritahu Cef Naem, kehadiran Adra adalah antara perkara paling indah dalam hidup dirinya dan isteri, Nurul Syazwani Zulkaffli.

“Sebelum ini, isteri saya keguguran. Namun, ALLAH gantikan dengan Adra. Jadi, saya akan sedaya upaya berusaha melebihkan masa dengan si kecil ini.

“Selain anak, tempoh PKP ini telah beri saya banyak peluang bersama dengan keluarga. Saya fikir, jika tiada PKP, mungkin saya akan sibuk dengan penggambaran sehinggakan tidak berpeluang untuk melihat anak membesar.

Iklan

“Saya sangat menghargai masa yang ada sekarang. Saya tidak terlalu sibuk menguruskan kedai dan kerjaya kerana tumpuan lebih diberikan kepada keluarga,“ ungkapnya kepada SinarPlus.

Tawaran

Selepas bergelar cef selebriti, hos, ahli perniagaan dan duta, apa lagi yang ingin dipeloporinya? Soalan itu membuatkan Cef Naem tergelak seketika.

Beliau kemudian berterus terang bahawa dirinya turut menerima tawaran berlakon. Bukan berhasrat untuk angkat bakul, tetapi peranan yang akan dibawa oleh anak jati Kuala Lumpur itu bukan sekadar pelakon pembantu atau tambahan.

“Saya bukan nak cakap apa, tetapi mereka tawarkan saya berlakon sebagai hero. Ini pastinya satu peluang di luar jangkaan. Biarpun saya rasa ini satu perkara yang menarik, tetapi saya fikir masih belum masanya lagi kerana banyak persediaan perlu dilakukan sebelum bergelar pelakon.

“Pada saya, untuk mempelajari sesuatu perkara dengan baik memerlukan masa dan juga perlu berguru dengan guru yang betul agar lebih mudah untuk memahami dan mendalami sesuatu perkara dengan baik,“ katanya.

Pencinta sukan lasak itu juga berkata, beliau perlu tahu bagaimana untuk menterjemahkan watak terutama apabila melibatkan emosi, sedih dan marah termasuk melibatkan ekspresi wajah.

“Segalanya perlu nampak realistik dan saya juga segan kalau dipanggil ‘kayu‘ nanti,“ selorohnya.

Bagi Cef Naem, setiap perkara memerlukan pendedahan awal dan pengetahuan. Justeru, beliau memerlukan sedikit waktu lagi.

Biarpun mengakui masih belum berada pada fasa bersedia untuk bergelar bintang filem, tetapi dirinya yakin bahawa pada suatu hari, kerjaya lakonan akan menghiasi portfolio kerjayanya.