‘RAYA raya raya.. selamat hari raya..’ Itu antara bait lirik lagu raya nyanyian kumpulan Dolla, yang dianggotai empat gadis manis, kini hangat menempa nama dalam industri.

Tuah ternyata menyebelahi Sabrina Wan Rusli atau dikenali, Sabronzo, Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby) dan Angelina Chai (Angel) apabila berjaya mencuri perhatian peminat muzik tanahair dalam tempoh setahun penampilan mereka.

Meraikan Aidilfitri pertama sebagai artis, masing-masing tidak dapat menyembunyikan keterujaan meskipun aktiviti ziarah raya tidak dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Raya tahun ini sangat istimewa buat kami berempat kerana pertama kali meraikan Aidilfitri sebagai artis dan paling manis diberikan peluang merakamkan lagu raya sendiri, Raya Raya Raya yang kebetulannya diterima baik peminat.

“Kalau ikutkan sebelum pelaksanaan PKP, pelbagai perancangan yang kami nak buat bersama peminat sempena sambutan raya termasuk majlis rumah terbuka.

“Bagaimanapun ia tidak dapat dilakukan dan kami tukar plan dengan aktiviti beraya bersama peminat secara virtual sahaja.

“Kami juga mempunyai grup chat di Telegram yang menjadi platform untuk bersama peminat,” ujar Sabronzo mewakili rakan-rakannya.

Syasya, Angel, Tabby dan Sabronzo gembira lagu raya nyanyian Dolla, Raya Raya Raya diterima ramai.

Kenangan dan raya norma baharu

Mengharapkan pandemik Covid-19 segera berakhir, Dolla yang menerima jolokan sebagai jelmaan kumpulan popular asal Korea Selatan, Blackpink itu mengakui rindu kenangan raya lalu yang sentiasa melekat di ingatan.

Menurut Sabronzo, 26, memori beraya bersama sanak-saudaranya di Pasir Puteh, Kelantan diingati kerana kemeriahannya.

“Kenangan paling seronok mestilah bila dapat balik beraya di Kelantan, tapi dalam masa sama saya tak suka melalui perjalanan panjang selama berjam-jam disebabkan kesesakan melampau di jalan raya.

“Bagaimanapun, bila tahun ini tak dapat balik kampung dan hanya beraya di Kuala Lumpur saja disebabkan PKP, memang rindu sangat.

“Terus teringat kenangan beraya di Amerika Syarikat waktu belajar di sana tiga tahun lalu, di mana saya menyambut raya dalam situasi yang sangat ringkas bersama rakan-rakan Muslim pelbagai bangsa di sana,” katanya.

Berbeza dengan Sabronzo, Syasya pula berkongsi pengalaman berbeza apabila setiap tahun menyambut raya bersama keluarganya di Kuala Lumpur (KL) dan tidak pernah merasa kemeriahan raya berkurang di ibu kota.

“Bagi saya raya di manapun sama sahaja meriahnya, asalkan kita dapat beraya dengan keluarga dan orang-orang yang kita sayang.

Iklan

“Paling best, masa raya jalan kat KL lengang dan kita boleh buat apa sahaja. Selalunya saya dan keluarga akan jalan-jalan dan bergambar dengan baju raya kami.

“Cuma pada tahun lalu dan tahun ini, lain sikitlah kerana kita beraya dalam suasana norma baharu dan perlu patuh SOP dengan beraya di rumah sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tabby dan Angel walaupun tidak menyambut hari raya, mengakui kali ini turut teruja dengan kehadiran 1 Syawal disebabkan Dolla dan peminat-peminat mereka yang sebahagian besarnya meraikan Aidilfitri.

“Saya ada ramai kawan Muslim dan banyak tahu tentang kemeriahan raya daripada mereka. Namun apabila bersama Dolla, keterujaannya berganda membuatkan saya sendiri turut tak sabar nak beraya sekali.

Iklan

“Cuma sedikit terkilan kerana perancangan nak beraya bersama Dolla tak terlaksana kerana PKP.
“Apa pun, saya tetap gembira dapat makan juadah raya kegemaran saya, rendang dan banyak lagi makanan Melayu yang lain,” kata Tabby.

Lain pula dengan anak kelahiran Sarawak, Angel yang tidak pernah mempunyai pengalaman menyambut raya sebelum ini.

“Kalau ikutkan tahun ini merupakan tahun pertama saya cuba nak memeriahkan hari raya, apatah lagi kali ini ada lagu raya sendiri bersama Dolla.

“Banyak benda juga tentang raya yang saya belajar daripada Dolla dan peminat,” akuinya.