CIK PUAN SYAMIM FARID Farid hadir bersendirian ke Studio Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini tanpa ada kelibat pengawal peribadi.

Dengan wajah polos, berpakaian serba ringkas sambil membawa beg galas beroda dengan dua helai busana di bawah labelnya sendiri, Syamim Farid, beliau dilihat tidak canggung.

Tatkala disapa sebaik pintu lobi dikuak, selebriti yang merupakan suri hati kerabat Diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari melontarkan senyuman yang paling lebar.

Tidak seperti desas-desus yang berputar ligat, beliau yang tidak kisah disapa dengan nama Syamim mudah diajak bersembang. Kadang-kadang beliau membahasakan dirinya sebagai Syamim ketika kami berbual.

Malah pelakon yang namanya semakin meniti kerdipan populariti berkongsi isi hatinya tentang banyak hal. Ketulusannya membutirkan kata-kata bukan dibuat-buat. Pendek kata, atmosfera sesi fotografi yang berlangsung tepat pukul 10 pagi hingga 2 petang itu diselubungi dengan ion-ion positif.

Ya, pastinya tiada apa yang menarik untuk dibutirkan kami melainkan tentang kemeriahan Aidilfitri.

Syamim berterus-terang. Menjadi sebahagian daripada orang istana sejak lima tahun lalu, tiada perbezaan ketara dari segi sambutan raya. Segalanya tenang dan tidak terlalu berprotokol.

Lebaran di istana

Sebelum Covid-19 melanda negara, biasanya kami akan hadiri majlis jamuan makan beramai-ramai di istana, bersalaman antara satu sama lain termasuk dengan Sultan Selangor.

“Selepas itu, saya dan suami akan balik dan teruskan kehidupan seperti biasa, semuanya sama,“ katanya yang terus menolak andaian ramai kononnya kehidupan beliau terlalu terikat dengan peraturan istana sejak berkahwin pada tahun 2016.

Syamim memberitahu, selepas segalanya selesai, mereka berdua akan menghalakan stereng ke rumah ibu bapanya di Gombak, Selangor.

Pun demikian, tidak seperti rata-rata keluarga lain yang bersalaman pada pagi lebaran, famili Syamim terbiasa dengan tradisi mengadakan ‘acara‘ berkenaan pada malam raya.

“Tidak seperti kebanyakan keluarga lain, kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai di kediaman mak pada malam raya. Kami semua akan membuat ‘salam raya‘ dan beri duit raya kepada anak buah dan ahli keluarga lain.

“Selain itu, kami akan menyemarakkan lagi kehangatan Aidilfitri dengan menganjurkan majlis tahlil dan bacaan Yasin,“ katanya yang gemar menikmati mi dan bihun sup serta lontong air tangan ibu tersayang pada pagi Syawal.

Terlalu awal untuk memasang angan-angan tentang kemungkinan sempadan udara dibuka, namun jika ia menjadi realiti, hati Syamim akan lebih berbunga-bunga.

Mana tidaknya, pasangan merpati dua sejoli itu akan terbang ke Jakarta, Indonesia bertemu sepupu dan saudara-mara suaminya di negara seberang itu.

Ya, itu hasil wawancara saya bersamanya pada penghujung Mac lalu, namun peraturan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diumumkan penghujung Ramadan lalu, menjadikan semua sebaliknya.

 

Tubuh yayasan

Algoritma subjek bicara saya dengan pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2015 itu sebenarnya pelbagai. Namun, daripada itu semua, nampaknya keterujaan Syamim bercerita tentang penubuhan satu yayasan khas untuk bekas Dewi Remaja lebih terserlah.

“Perancangan ini sebenarnya sudah lama, tetapi saya tak tahu bagaimana mahu mulakan. Begini, apa yang saya bayangkan adalah mewujudkan satu yayasan yang menjemput semua mantan peserta Dewi Remaja untuk turun padang berbakti dengan masyarakat.

Iklan

 

“Orang luar sering menganggap kami ini hanya mahu popular semata-mata, jadi saya mahu buang streotaip itu. Bayangkan semasa kita bertanding, segala aktiviti kita lakukan bersama, namun selepas menang, ke mana kita?

Justeru, penubuhan yayasan ini antara lain mengajak semua dewi mendekatkan diri dengan orang awam seperti mengadakan lawatan di hospital atau memenuhi impian pesakit. Apa kata kita peruntukkan masa di sebalik kesibukan kita bersama orang awam,“ kata selebriti jelita berkenaan yang sangat berharap visinya dapat direalisasikan.

Bersembang lama dengannya pada hari itu, membuatkan saya merumuskan tentang karakter dan sisi sebenar dirinya.
Jika orang memikirkan dirinya yang sudah berada dalam dulang emas sehingga tidak memerlukan beliau mengerahkan kudrat untuk bekerja, tanggapan itu silap dan itu bukan diri Syamim yang sebenar.

Figura itu nampaknya terus berkerja keras untuk memperluaskan lagi cabang perniagaannya. Jika sebelum ini, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Teknologi Mara itu sudah ‘meloloskan‘ diri dalam dunia fesyen dengan label Syamim Farid, kini dirinya bakal mengeluarkan produk makanan kesihatan dengan dua rakan kongsinya.

“Apa yang saya lakukan ada kaitan dengan diet sihat yang saya praktikkan, ia seperti smoothie, hanya kisar dengan ais dan untuk tambah kesedapan, boleh bubuh pisang atau strawberi,“ katanya yang tidak menjamah nasi.

Oh! Kepada yang bertanya tentang diet Syamim yang tidak menikmati waima sebutir nasi itu, sebenarnya amalan ituu telah berterusan sejak 11 tahun lalu.

Iklan

“Saya gantikannya dengan millet, couscous dan quinoa serta minum minuman jus buah asli. Saya juga hanya makan ikan, sayur dan makanan laut. Kalau ditanya tentang suami, dia juga jarang makan nasi,“ katanya yang juga tidak makan ayam, daging dan telur.

 

Berat badan Syamim kini sekitar 41 hingga 42 kilogram (kg) sahaja dengan ketinggian 168 sentimeter.

Kepada semua pembaca SinarPlus, berikut ucapan istimewa daripada Syamim kepada semua.

Selamat Hari Raya Aidilfirtri. Maaf Zahir Batin. Berhati-hati di jalan raya. Jangan lupa SOP 🙂 Stay safe!

 

Busana: Azura Couture by Azura Mazaruddin (@azuracouture),
Wan & Mary (@wan_and_mary) &
Syamim Farid
(@syamimfarid.official)
Mekap: Ayang Kamell (@ayangkamell)