PELAKON dan penyanyi, Beego berkongsi khabar duka mengenai 15 anggota keluarganya di Johor Bahru dijangkiti virus Covid-19.

Menurut Beego atau nama penuhnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 41, salah seorang daripadanya juga sudah lengkap dua dos vaksin turut dijangkiti.

“15 orang ahli keluarga saya sendiri di Johor Bahru disahkan positif (Covid-19). Yang dah lengkap dos (vaksin) pun positif. Memang sesuatu yang tidak terjangka oleh saya.

“Covid-19 memang betul tapi apapun, virus ini tetap akan tunduk dengan rahmat Allah SWT. Yang pergi selamanya kerana virus itu juga dalam rahmat-Nya,” ujarnya menerusi perkongsian di Instagram miliknya.

Tambah anggota kumpulan Phyne Ballerz itu lagi, dia juga mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga kerana Covid-19.

“Mati kerana wabak, syurga juga buat kalian. Saya ingin mengambil kesempatan untuk ucapkan takziah kepada semua kenalan yang kehilangan orang tersayang. Tolong bertabah, reda, zuhud dan istiqamah.

“Apa pun yang ada atas dunia bersama kita adalah pinjaman dari Allah SWT,” ujar Beego.

Linda kehilangan ibu angkat

Sementara itu, isteri Beego yang juga pelakon, Linda Hashim turut berkongsi berita duka mengenai pemergian ibu angkatnya, Rahimah Hashim.

Iklan
Gambar kenangan Linda bersama arwah ibu dan ayah angkatnya.

Bagaimanapun ujar Linda, wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandung itu bukan meninggal dunia disebabkan Covid-19.

“Tak terkata apabila dapat tahu ibu yang saya memang sangat-sangat rindu pergi ke negeri abadi pada Jumaat (semalam), hari yang mulia.

Iklan

“Ibu pernah minta saya doakan dia ketika saya pergi umrah dulu supaya dia diberikan kesihatan yang baik, panjang umur dan kalau Allah nak ambil dia, ambillah hari Jumaat.

“Allahuakbar ibu, Allah makbul permintaan ibu. Tenanglah ibu di sana sebagai bidadari syurga. Linda sayang ibu. Semoga ayah dan semua keluarga terus kuat,” luahnya.