MESKI hanya lima bulan sempat mengendalikan program Muzik Muzik 36, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha akur untuk meninggalkan program terbabit.

Biarpun terkejut dengan keputusan pihak pengurusan menamatkan khidmatnya sebagai pengacara program tersebut bersama Alif Satar, lebih awal daripada tempoh sepatutnya, pemilik nama sebenar Daiyan Tisha Mohd Nasaruddin, 28, menganggap bukan rezekinya untuk terus bersama Muzik Muzik.

“Memang saya terkejut sedikit kerana sepatutnya kontrak saya untuk program itu sepatutnya selama setahun. Bagaimanapun saya faham kerana ia adalah keputusan daripada Media Prima yang khabarnya ingin mengetengahkan bakat di bawah naungan mereka.

“Saya anggap sudah tiada rezeki dan jodoh dengan Muzik Muzik sampai tahap ini sahaja. Saya OK dan tidak ada rasa kecewa atau terkilan.

“Bagi saya, walaupun hanya lima bulan, tetapi ia merupakan peluang terbaik untuk saya cuba pengalaman baharu sebagai pengacara,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Dalam pada itu, selebriti yang kini menjadi sukarelawan dengan membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin di Univeristi Kebangsaan Malaysia itu mengakui amat menghargai peluang dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bersama program itu.

“Sebelum ini saya memang bukan pengacara pun, sebaliknya lebih aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian.

“Jadi bila dapat peluang untuk mengacarakan sebuah program carta muzik nombor satu di Malaysia ni, tentulah sesuatu yang perlu saya cuba untuk menambah pengalaman.

Iklan

“Selama lima bulan dengan Muzik Muzik, saya banyak belajar ilmu dalam bidang pengacaraan. Team produksi dan rakan pengacara Alif Satar juga sangat baik dan sentiasa membantu,” ujarnya.

Tambah Daiyan yang cukup dikenali dengan sikap merendahnya diri itu, tiada apa yang berubah buat dirinya, sebaliknya terus memberikan fokus kepada kerjaya lakonan dan nyanyian seperti biasa.

“Memang sejak dulu saya hanya fokus dengan lakonan dan nyanyian. Cuma bila tawaran mengendalikan Muzik Muzik datang sebelum ini, saya anggap ia sebagai peluang menambah pengalaman.

Iklan

“Kini bila tidak lagi bersama Muzik Muzik, saya akan teruskan berlakon dan menyanyi macam biasa seperti mana yang saya lakukan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu penyanyi Sissy Imann diumumkan sebagai pengacara baharu Muzik Muzik bersama Alif Satar, sekali gus menggantikan tempat Daiyan Trisha, menerusi satu sidang media khas yang diadakan pada Isnin.