Daiyan Trisha ada alasan tersendiri jadi sukarelawan di PPV

A
A
A

PENGORBANAN Kecil. Itulah yang diperkatakan oleh penyanyi dan pelakon berbakat besar, Daiyan Trisha saat membuka cerita tentang penglibatannya sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak sebulan lalu.

Bukan untuk mencuri tumpuan ramai, apatah lagi sebagai konten di media sosial, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu tegas menyatakan tindakannya itu didorong keinginan membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dalam proses vaksinasi.

Sepanjang bergelar sukarelawan, Daiyan, 28, mengakui seronok melakukan tugasan diberikan, sekali gus menimba pelbagai pengalaman baharu dalam hidupnya.

“Saya tergerak hati untuk melakukan kerja sukarelawan di PPV ini atas inisiatif diri sendiri dan bukan kerana terpengaruh atau diajak oleh sesiapa.

“Keinginan itu timbul kerana merasakan saya perlu berbuat sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat, selain membantu meringankan beban petugas barisan hadapan pada saat sukar ini.

“Saya tidak nampak ia sebagai satu perkara besar, sebaliknya menganggap sebagai satu usaha atau pengorbanan kecil daripada saya untuk sama-sama membantu,” jelasnya kepada SinarPlus.

Ditanya tidakkah dia gusar mendedahkan diri kepada risiko jangkitan Covid-19, apatah lagi pada saat kes harian tinggi mencanak, Daiyan mempunyai alasannya tersendiri.

“Tipulah kalau kata tak risau, tetapi kerisauan itu saya atasi dengan melindungi diri sebaik mungkin menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat, selain sudah mengambil suntikan vaksin.

“Lagipun saya bukan bekerja setiap hari, sebaliknya hanya sekali seminggu iaitu pada hari Sabtu sahaja.

“Insya-ALLAH jika niat kita baik dan ikhlas, semuanya dipermudahkan. Daripada tak buat apa-apa di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, lebih baik saya lakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Daiyan seronok dapat bantu ringankan beban kerja petugas barisan hadapan di PPV.

Bagaimanapun dalam pada keterujaannya memberikan khidmat, pengacara Muzik Muzik itu dikejutkan dengan fitnah disebarkan seorang individu yang mendakwa sukarelawan golongan selebriti lebih banyak bersosial, bergambar dan pulang selepas 15 minit bertugas.

Kecewa dengan dakwaan tersebut, apatah lagi namanya turut disebut sebagai salah seorang dimaksudkan, Daiyan, tampil menjelaskan keadaan.

“Saya terkejut apabila dituduh seorang individu di laman Twitter menerusi satu ciapan berbaur fitnah tentang tujuan penglibatan golongan selebriti sebagai sukarelawan.

“Saya sudah bekerja sebagai sukarelawan selama hampir sebulan, semuanya dalam masa lima sehingga 10 jam sehari. Saya tak pernah merungut, apatah lagi melakukan perkara seperti didakwa.

“Saya harap agar orang ramai tidak terus percaya kepada fitnah disebarkan, sebaliknya fokus kepada pengorbanan petugas barisan hadapan,” tegasnya.

Sokong kempen #ApaKhabarAnakSeni

Berkongsi tentang kerjaya seninya, bintang siri popular Projek: Anchor SPM itu akur apabila semua aktiviti seni dihentikan sementara waktu disebabkan keadaan semasa pandemik.

“Alhamdulillah dari segi kewangan, mungkin saya tidak begitu terkesan, tetapi untuk kerjaya memang banyak perancangan terbantut.

“Apa pun, bukan saya seorang sahaja terkesan, tetapi semua orang mengalami situasi sama. Mahu tidak mahu, kita kena sama-sama depani situasi ini dengan sebaiknya.

“Saya sedar ramai rakan dan pekerja industri kreatif hilang mata pencarian kerana tidak dapat bekerja. Sebagai rakan dalam industri, saya cuba membantu mana yang boleh termasuk menyokong kempen #ApaKhabarAnakSeni yang diperkenalkan baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Daiyan bakal tampil dengan single terbaharunya berjudul Penat, tidak lama lagi.

Selain melodi indah, lirik tulisan Daiyan yang juga merupakan anak kepada novelis terkenal, Samsiah Mohd Nor, itu juga sangat puitis dan penuh makna tersirat.

“Pada mulanya saya hanya kongsikan petikan lagu ciptaan saya ini di Instagram dan tak sangka pula ramai yang minta karya tersebut dijadikan single.

“Mungkin ramai yang suka kerana lagu Penat bercerita tentang kisah patah hati yang bukan sahaja disebabkan cinta tetapi dalam pelbagai situasi termasuk apa yang sedang kita lalui sekarang ini.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki, mungkin single ini akan menemui peminat pada Ogos depan,” katanya yang turut menulis kata-kata pujangga nukilannya sendiri di akaun Instagram @tulisanbydaiyantrisha.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca