PENYANYI tersohor negera, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tampil membuat pencerahan berhubung isu penganjuran majlis aqiqah dan tahnik anjuran mereka yang didakwa netizen sebagai melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Siti, 42, tiada sebarang pelanggran SOP yang berlaku termasuk sebarang aktiviti rentas negeri seperti mana yang diperkatakan ramai ketika mengadakan majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa pada 26 April lalu.

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

“Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

“Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aturcara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti  seperti yang tertakluk pada tempoh itu,” jelasnya.

Menurut Siti lagi, majlis tersebut terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad yang dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik serta memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah.

“Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Iklan

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang baru sahaja tampil dengan album kanak-kanak klasik berjudul Legasi itu menegaskan, penjelasan itu bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Iklan

“Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan dan kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” akhiri Siti.