PELAKON Fiza Elite memohon maaf kerana tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini berkaitan dakwaan mengaibkan dirinya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Susulan dakwaan ‘kaki sondol’ dan mata duitan yang dilabelkan terhadap dirinya itu, Fiza atau nama penuhnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 43, telahpun membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, pada Rabu lalu.

“Saya mohon maaf kerana tak dibenarkan memberi apa-apa kenyataan berhubung perkara berbangkit dan tular itu.

“Ia memang masih dalam siasatan polis. Biarlah pihak berwajib melakukan kerja mereka dulu,” katanya.

Jelas bekas anggota kumpulan Elite itu lagi, dia tidak bermaksud untuk mengelak daripada pihak media, cuma memohon diberikan sedikit masa sehingga pihak polis selesai membuat siasatan.

“Bukan saya nak mengelak daripada media, cuma saya tidak boleh komen apa-apa buat masa ini.

“Apapun dalam minggu depan, insya-ALLAH saya akan mendapat keputusan hasil siasatan dan kongsikan dengan semua,” katanya.

Iklan

Beberapa hari lalu, nama Fiza menjadi bualan hangat di Twitter apabila seorang individu yang dipercayai bekas adik iparnya, mendedahkan cerita yang dikatakan mengaibkan dirinya.

Fiza sebelum ini bertemu jodoh dengan juruterbang berstatus duda dua anak, iaitu Aizat Al Jefri pada Disember 2016. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Baby Aleena yang kini berusia hampir tiga tahun, sebelum bercerai pada 22 Julai tahun lalu.

Iklan

Terdahulu Fiza menerusi perkahwinan pertamanya dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12. Mereka bercerai pada 4 November 2010, selepas hampir empat tahun berkahwin.

Diikuti perkahwinan kedua Fiza dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Adam, pada September 2013 dan turut berakhir dengan penceraian.