HAMPIR dua dekad dalam industri dan melalui jatuh bangun dalam kerjaya seni, penyanyi Misha Omar sentiasa bersemangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Pencapaian yang dimiliki dalam kerjaya seninya, menjadi bukti kepada minat dan kesungguhan beliau berkongsi bakat dimiliki dalam bidang nyanyian yang kini sebati dalam diri.

Justeru biarpun sudah bergelar isteri dan ibu, pemilik nama sebenar Samihah @Aisah Omar itu, berkata, kecintaannya pada seni tidak pernah terhenti.

Apatah lagi dengan sokongan peminat yang sentiasa mengiringi perjalanan beliau dalam industri seni sejak awal penglibatannya sekitar tahun 2002 sehingga hari ini.

Bagi menghargai sokongan peminat setia, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa, Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang – Misha Omar, yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 30 Oktober depan.

“Beberapa tahun lalu sebelum pandemik, saya menyimpan berhasrat untuk mengadakan sebuah persembahan istimewa bagi meraikan ulang tahun penglibatan saya dalam industri muzik yang bakal memasuki usia dua dekad tahun depan.

“Persembahan itu juga sebagai tanda terima kasih dan penghargaan saya buat peminat yang begitu setia menyokong saya.

“Alhamdulillah hasrat itu bakal menjadi kenyataan pada 30 Oktober nanti apabila Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Istana Budaya memberikan saya peluang yang sudah lama dinantikan itu,” ujarnya teruja.

Cukup dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai vokal dan gaya persembahan tersendiri di pentas, Misha bakal mendendangkan seleksi lagu cinta popular yang pernah menaikkan namanya seperti seperti Bunga-Bunga Cinta, Cinta Adam dan Hawa, Pulangkan, Sampai Bila, Tanpa Rela dan banyak lagi.

Jelas Misha lagi, selain memberi dedikasi kepada peminat, konsert istimewa itu turut diselitkan dengan segmen tribute untuk idola yang banyak memberi inspirasi kepadanya selama ini.

“Saya sebenarnya bertuah kerana sering dikelilingi orang-orang yang banyak memberikan inspirasi dalam bidang seni. Antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Datuk Sharifah Aini dan sahabat saya, Siti Sarah.

“Disebabkan konsert ini sangat istimewa, saya mahu menjadikan momen itu lebih bermakna dengan menyanyikan lagu-lagu mereka yang saya sangat sanjungi.

“Allahyarhamah Sharifah Aini misalnya, antara insan seni yang banyak memberi semangat positif buat saya pada awal kemunculan dulu dan perkara sama saya lakukan kepada bakat-bakat baharu hari ini,” katanya.

Iklan

Tangguh hamil anak kedua

Dalam pada itu, di sebalik keterujaan wanita berusia 39 tahun itu merealiasikan konsert impiannya, beliau terpaksa berkorban dengan menangguhkan seketika proses rawatan kesuburan bagi mendapatkan cahaya mata kedua yang sedang dijalaninya sebelum ini.

“Saya dapat tawaran menjayakan konsert sekitar April lalu, tetapi melihat kepada keadaan semasa pandemik, saya fikir ia mungkin tidak jadi. Mengisi masa yang ada, saya mulakan rawatan kesuburan untuk hamil anak kedua.

“Bagaimanapun, beberapa bulan selepas itu saya dimaklumkan konsert akan diteruskan mengikut perancangan, sekali gus membuatkan saya dalam dilema. Apatah lagi rawatan yang saya jalani sudah memasuki ke proses terakhir.

“Setelah melakukan perbincangan dengan suami, saya membuat keputusan menghentikan rawatan tersebut buat sementara waktu demi konsert,” jelasnya yang tidak mahu mengambil risiko jika hamil ketika mengadakan persembahan itu.

Iklan

Misha yang ditemui pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, Selasa lalu, mengakui kecintaannya terhadap bidang seni terlalu besar dan mengatasi segala-galanya.

“Dalam dilema kali ini, saya memilih untuk bersama peminat-peminat dan seni yang menjadi kecintaan saya. Perancangan hamil anak kedua akan disambung selepas segalanya selesai nanti.

“Kecintaan saya pada bidang seni terlalu besar. Apa sahaja yang saya lakukan mesti dengan sepenuh hati. Jadi saya harus membuat pilihan terbaik dengan sedikit pengorbanan,” tegasnya.


(FOTO: HAZELNART STUDIO)