PENGARAH tersohor, U-Wei Saari, meluahkan rasa kesal apabila permohonannya mendapatkan Dana Kandungan Digital untuk filem kenegaraan, Wangi Jadi Saksi, sebuah karya arahannya tidak diluluskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

U-Wei, 67, menerusi satu kenyataan berkata, penolakan itu disebabkan berlakunya campur tangan daripada pihak atasan Finas membabitkan Ketua Pengarah Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang disifatkan tidak profesional dalam membuat keputusan.

Jelasnya, perbentangan Wangi Jadi Saksi dilakukan pada 16 Mac lalu dan mendapat maklum balas positif daripada panel penilai yang terdiri daripada wakil Finas dan dua ahli akademik.

“Tidak ada satu soalan ditanya dan selepas pembentangan saya bertanya lagi jika ada soalan atau keraguan. Mereka hanya menunjukkan ibu jari sebagai semuanya baik.

“Saya tekankan di sini mereka dipilih Finas ini adalah orang-orang pakar yang dipercayai. Orang ilmuan yang saya dihormati.

“Saya tidak faham akan campur tangan anda sebagai Ketua Pengarah dalam menentukan keputusan setelah kebijaksanaan yang diamanahkan kepada pegawai anda dan kedua-dua orang pakar tadi.

“Saya juga tidak nampak bijaknya sumbangan anda di peringkat akhir keputusan, selain menunjuk kuasa anda yang ada,” ujarnya.

Pengarah yang meraih pelbagai anugerah di pentas antarabangsa itu juga secara berterus-terang mengakui tidak bersetuju dengan rancangan Finas di bawah pentadbiran Ahmad Idham.

Malah tegas U-Wei, penglibatan Ahmad Idham dalam menentukan kelulusan sesuatu projek dengan menggunakan kuasa veto, boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap kebijaksanaan panel yang dilantik Finas sendiri.

“Saya harap perasaan prejudis anda (jika ada) tidaklah digunakan untuk mempengaruhi keputusan terhadap permohonan saya.

“Jadi jika anda sebagai Ketua Pengarah Finas turut ikut serta juga dalam pemilihan dan penentuan projek mana yang patut diluluskan atau tidak diluluskan dengan menggunakan kuasa veto dalam menentukan nasib permohonan saya, anda telah menghina kebijaksanaan panel yang dilantik Finas sendiri,” katanya.

Menurut pengarah filem Hanyut itu lagi, pembikinan sesebuah filem kenegaraan tidak boleh dibuat sesuka hati, sebaliknya perlu melalui proses yang betul, selain memenuhi kriteria ditetapkan.

“Saya tidak selesa untuk menyenaraikan pencapaian saya atau apa yang dikatakan kejayaan dalam bidang ini.

“Bagaimanapun apa yang dimaksudkan antara lain adalah filem kenegaraan harus mendapat perhatian di luar negera dan ini boleh dicapai menerusi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa yang relevan, sekali gus meletak filem kita ke dalam peta filem dunia,” ujarnya.

Iklan

Menurut U-Wei yang sering diundang ke pelbagai festival filem luar negara, bagi menghasilkan sebuah filem kenegaraan, kerajaan harus memberikan komitmen penuh.

“Saya juga mendapat khabar yang Finas terangsang untuk kelak membuat filem supaya dapat dipertandingkan di Oscar. Satu impian dan hasrat yang tinggi

“Pelaksanaan bagi perancangan besar harus dimulakan di atas meja tulis. Untuk Malaysia melahirkan kebanggaan dengan filem kenegaraan, komitmen kerajaan harus total.

“Saya tidak nampak akan usaha perseorangan dalam melaksanakan filem dalam skala sebegitu.

“Saya sendiri telah menulis, mengarah dan menerbitkan filem berskala besar, Hanyut, pada tahun 2014, selepas Enfiniti Filem milik Datin Seri Tiara Jacquelina menghasilkan filem Puteri Gunung Ledang pada 2004,” ujarnya.

Iklan

Dalam masa sama, U-Wei turut menggesa Ahmad Idham agar berfikir secara mendalam tentang keputusan yang dilakukan itu.

“Anda fikir semasak-masaknya apa sahaja keputusan yang anda lakukan berkenaan perfileman, apa lagi perfileman tanahair.

“Filem kita adalah jiwa kita. Jiwa yang besar. Ini adalah demi maruah filem kita jika kita ingin berpencak di persada dunia.

“Kita harus berkelakuan antarabangsa jika kita mahu dilihat antarabangsa,” katanya.