JIKA kebiasaannya kita mendengar komposer mendapat ilham daripada hujan, pengalaman lalu, cerita orang lain dan situasi sekeliling, lain pula dengan Mafarikha Akhir.

Siapa sangka, perjalanan sunyi yang dilalui oleh penyanyi Mafarikha, lapan tahun lalu ketika berulang alik dari Cheras ke Cyberjaya mencetuskan ilham buatnya menghasilkan Angin.

Ujar Mafarikha, 30, rangka lagu itu ditulis ketika masih terikat dengan pengajian di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

“Dalam perjalanan, saya akan meluangkan masa untuk berkhayal dan mengelamun dalam sunyi; sunyi kerana buat beberapa tahun saya tidak mendengar radio walau sedikit pun. Suasana yang sunyi itu menjadi ilham buat saya menghasilkan Angin.

“Lagu ini tiada kaitan dengan hidup saya pun. Saya suka berhalusinasi, memikirkan tentang pengalaman orang lain dan mencipta senario yang dialami orang selain daripada pengalaman saya sendiri. Lagu ini tidak mempunyai makna tersendiri dalam hidup saya.

“Saya sekadar mahu mencipta sebuah lagu yang saya suka dan untuk pendengar juga suka apa yang mereka dengari,” terang Mafarikha tentang maksud di sebalik lagu ini.

Angin adalah single ketujuh Mafarikha sepanjang kerjayanya dalam industri muzik tanah air.

Setelah melancarkan single pertama bersama Luncai Emas iaitu Kabut Serangkai Mawar, sebuah remake lagu dendangan Zaiton Sameon, Datuk M Nasir memberi kepercayaan untuk Mafarikha tampil dengan lagu sendiri.

Penanda aras

Lagu ini juga telah digubah dan dilengkapkan dengan kerjasama Pi’e Nasir; penyanyi dan pemain gitar kepada band tempatan Ramayan, manakala Faliq Mohd, bertindak selaku penerbit.

Iklan

Berbanding daripada lagu-lagunya yang lain, Angin mempunyai sesuatu yang berbeza buat Mafarikha.

“Prosesnya berbeza kali ini. Single saya sebelum ini, saya akan menggunakan perkhidmatan penulis-penulis lain dan sekadar menyanyikan apa yang telah ditulis setelah lagunya siap.

“Kali ini saya turut serta dalam prosesnya dari awal sampai akhir. Saya juga yang menulis lagu dan lirik, dan sentiasa bertukar pendapat bersama produser Pi’e dan ahli-ahli Luncai Emas tentang apa yang bagus, apa yang perlu diubah, mesej apa yang ingin disampaikan dan sebagainya,” ujarnya yang memaklumkan lagu tersebut dirakamkan di Studio Ronggeng milik Luncai Emas pada awal tahun ini.

Iklan

Lagu ini mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan untuk disiapkan.

Sama seperti penyanyi lainnya, Mafarikha juga berharap Angin akan diterima baik dan dibawa ke taraf lebih tinggi serta destinasi yang lebih jauh daripada single sebelum ini.

Kini lagu Angin boleh dilayani di YouTube dalam bentuk video lirik. Pendengar juga boleh menikmati lagu Angin di semua platform streaming seperti Spotify, JOOX, Deezer dan iTunes.